Ini Dua Syarat Wajib PFAM Letakkan Jika Persatuan Berhasrat Potong Gaji Pemain

Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) hari ini mengeluarkan satu kenyataan berkenaan pembayaran dan pemotongan gaji pemain dalam tempoh krisis COVID-19 yang melanda negara, termasuk bola sepak pada ketika ini.

Penangguhan perlawanan Liga Malaysia sejak dari pertengahan Mac lalu, dan dijangka akan terus dilanjutkan sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan ditamatkan nyata telah memberi impak ekonomi kepada setiap persatuan.

Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi pasukan pertama melakukan pemotongan. Namun kelab dari selatan tanah air itu djangka tidak akan mengalami impak kewangan besar, dengan jumlah pemotongan turut dihulurkan kepada Tabung Bencana Negeri.

Langkah tersebut turut diambil oleh Kuching FA yang mengambil langkah memotong 5% daripada gaji pemain mereka.

Ia kemudiannya diikuti oleh FAM dan MFL yang turut memotong gaji kakitangan masing-masing.

Cadangan untuk memotong gaji pemain di Liga Malaysia pada mulanya mendapat bantahan daripada ramai pihak.

Namun tindakan tersebut bukan kerana tidak sedar akan keadaan semasa, melainkan tidak mhu melihat pemain terus menjadi mangsa keadaan dalam keadaan sulit pada masa kini.

Hasil mesyuarat semalam, PFAM menentapkan dua syarat utama utnuk membenarkan pemotongan gaji diteruskan.

Pertama, pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji sebelum pandemik ini bermula WAJIB menyelesaikan tunggakan gaji terlebih dahulu.

Ini jelas, dan tiada perdebatan mengenainya. Ini bermakna segala hutang oleh persatuan wajib dilangsaikan terlebih dahulu.

Kedua, rundingan dan persetujuan perlu dibuat secara individu dengan pemain (case by case), bukannya dilakukan secara pukul rata.

Ini memandangkan setiap pemain mempunyai nilai gaji yang berbeza, keperluan yang berbeza dan selayaknya bersetuju atas nilai pemotongan yang berbeza.

Ini turut bagi memastikan SETIAP pemain mendapat hak yang sama – untuk berunding terus bersama majikan, dan seterusnya bersetuju dengan kadar yang pemain sendiri merasakan adil untuknya – sepertimana rundingan nilai gaji dilakukan.

Menurut PFAM lagi, sudah terdapat persatuan yang mengambil tindakan sendiri memotong gaji pemain tanpa persetujuan sejak dari Mac lepas.

FAM dan MFL turut disaran mengambil langkah pro aktif agar tidak ada pihak yang mengambil kesempatan atas situasi semasa.

 

Kongsi artikel ini