Indonesia Tawar Diri Jadi Tuan Rumah Piala Asia 2023

Indonesia menjadi negara terkini menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah Piala Asia 2023.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Pemuda & Olahraga (MENPORA) Indonesia, Zainudin Amali, yang menyatakan kesanggupan negara tersebut mengambil alih hak penganjuran kejohanan tersebut daripada China.

Malah Persekutuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) turut telah mengutus surat permohonan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk tujuan tersebut.

AFC sebelum ini telah melanjutkan tarikh permohonan untuk anggota yang berminat untuk menjadi tuan rumah Piala Asia 2023 kepada 15 Julai.

Tarikh tutup asal untuk melakukan permohonan adalah sehingga pada 30 Jun ini.

Kali terakhir Indonesia menjadi tuan rumah Piala Asia adalah pada 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama Malaysia, Vietnam dan Thailand.

Berdasarkan perancangan asal Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kejohanan edisi ke-18 itu akan diadakan di China.

Namun disebabkan ancaman pandemik yang belum reda di negara itu, Persatuan Bola Sepak China (CFA) dan AFC bersetuju agar penganjuran di negara itu dipindahkan ke venue lain.

Menurut Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John, perkara paling utama dalam penentuan tuan rumah adalah jaminan daripada pihak kerajaan bagi memastikan Piala Asia dapat berlangsung secara terbuka tanpa sebarang sekatan seperti sebelum COVID-19 melanda.

Selain Indonesia, beberapa negara anggota AFC lain seperti Jepun, Korea Selatan, dan Qatar turut telah menyatakan minat masing-masing untuk menganjurkan kejohanan itu.

Kongsi artikel ini