Individu Mirip Sanusi Dirakam Tepuk Tangan Rai Kad Merah Bergson

Sebuah klip video memaparkan seorang individu yang berada di tempat duduk VIP di Stadium Darul Aman bertepuk tangan meraikan kad merah Bergson da Silva telah menjadi tular di media sosial pada hari ini.

Kebetulan atau tidak, individu itu mirip Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang semua sedia maklum adalah penyokong No.1 skuad Sang Kenari.

Berjaya menyamakan kedudukan untuk JDT selepas terlebih dahulu ketinggalan 1-0 seawal minit ke-12 oleh pasukan tuan rumah, Bergson kemudiannya dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Hamdan Awang kerana bertindak menumbuk kepala Rodney Calvin.

Insiden pada babak akhir perlawanan itu mencetuskan ketegangan di antara pemain dan pegawai perlawanan, sebelum Bergson dilihat diiring menuju ke bilik persalinan.

Di dalam keriuhan di kalangan penyokong, individu yang mirip Menteri Besar Kedah itu turut kelihatan bertepuk tangan meraikan kad merah yang diterima pemain dari Brazil itu.

Ia sememangnya adalah lumrah bagi mana-mana penyokong – tidak terkecuali orang kenamaan – untuk meraikan kelebihan di dalam bola sepak.

Malang sekali walaupun beraksi dengan 10 pemain, kepincangan JDT tidak memberi kelebihan buat pasukan  Kedah.

Malah skuad kendalian Aidil Shahrin dibocori sebanyak dua kali pada babak kedua perlawanan melalui sepakan penalti Leandro Velasquez dan rembatan kencang Afiq Fazail dari dalam kotak penalti untuk memberikan kemenangan 3-1 kepada pasukan pelawat.

Melalui hantaran di Facebook pada hari ini, Sanusi dilihat mempersoalkan sepakan penalti yang diberikan pengadil dan juga jaringan penyamaan oleh Bergson kerana pemain itu dianggap sudah berada di dalam kedudukan offside sebelum jaringan dihasilkan.

Tahniah JDT yang menang menentang KDAFC malam ini. Tahniah juga pemain dan penyokong KDAFC yang telah memberi komitmen…

Posted by Muhammad Sanusi Md Nor on Tuesday, October 4, 2022

“Tahniah JDT yang menang menentang KDAFC malam ini.

“Tahniah juga pemain dan penyokong KDAFC yang telah memberi komitmen terbaik,” ujar beliau ringkas.

“Kalah takpa jangan koyak.

“Lepas off-side dan dapat penalti dalam bolasepak memang ada juai di kedai tepi jalan di Kelana Jaya,” tambah beliau lagi.

Perlawanan pada malam tadi yang disaksikan oleh 15,000 penonton bermula dengan ‘Guard of Honor’ untuk memberi penghormatan kepada JDT yang mengesahkan kejuaraan Liga Super pada Sabtu lalu.

Kongsi artikel ini