“Ikut Jejak Langkah Arif Aiman”- Remaja Viral Disambar JDT Berasal Daripada Keluarga ‘Berdarah’ Bola Sepak

Remaja berusia 14 tahun yang viral sebelum disambar JDT untuk menyertai akademi bola sepak pasukan itu sebenarnya berasal daripada keluarga ‘berdarah’ bola sepak.

Sebelum ini kelibat Muhammad Aqil Bin Mohd Shamsul Aswadi telah berjaya menarik perhatian ramai peminat bola sepak tempatan apabila aksinya menentang pemain-pemain dewasa tular di media sosial.

Berdasarkan video tersebut, Aqil dilihat memiliki ciri-ciri pemain yang memiliki bakat istimewa di dalam bola sepak dengan kemampuan kawalan bola yang kemas, selain daripada kemahiran melakukan ‘scanning’ di dalam permainannya.

Kemahiran dan ketenangan Aqil ini dianggap sebagai sesuatu yang jarang dimiliki oleh pemain-pemain lain seusia beliau. Malah di dalam video yang tular tersebut, kemahiran yang ditampilkannya adalah lebih baik berbanding pemain lawan yang sudah dewasa.

Juara Liga Super sembilan kali berturut-turut nyata tidak membuang masa apabila terus menyambar Aqil untuk menyertai akademi bola sepak kelab itu semalam.

Namun demikian, mungkin ramai di kalangan peminat bola sepak tempatan yang tidak mengenali pemain muda berbakat ini.

Muhammad Aqil sebelum ini adalah pelajar Tingkatan 2 SMK Ibrahim Fikri dan merupakan salah seorang pelatih yang mula dibangunkan melalui Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Dan bakat yang dimiliki remaja ini sebenarnya bukan kebetulan kerana berasal daripada keluarga bola sepak.

Abangnya, Arsyad Shamsul merupakan pemain skuad Terengganu FC IV yang beraksi di Piala Belia.

Ayahnya, Mohd Shamsul Aswadi juga merupakan pemain futsal dan dianggap legenda di dalam dunia futsal pernah bergelar kapten futsal negeri sehingga berusia 44 tahun.

Kebetulan atau tidak Aqil menyertai akademi bola sepak JDT pada usia yang sama seperti seorang lagi bintang JDT, Arif Aiman.

Seperti Aqil, Arif juga menyertai akademi JDT pada usia 14 tahun setelah bakatnya mula dibangunkan oleh NFDP di peringkat awal sebelum melakukan debut kompetitif di Liga Malaysia bersama kelab itu pada usia 17 tahun pada 2020.

Pada masa ini mungkin terlalu awal untuk menyamakan Aqil dengan Arif Aiman yang telah bergelar MVP Liga Malaysia pada usia yang begitu muda.

Diberikan peluang menyertai akademi bola sepak terbaik di Malaysia, kini terpulang kepada Aqil untuk mengikut jejak langkah Arif Aiman.

Dengan sistem pembangunan yang mantap, tidak mustahil JDT sekali lagi akan berjaya membangunkan seorang lagi pemain sensasi untuk negara di dalam tempoh 3-4 tahun akan datang.

Kongsi artikel ini