IJF Mohon Maaf Selepas Persenda Mangsa Tragedi Kanjuruhan

Inter Johor Firms (IJF) yang suatu ketika dahulu pernah diumumkan dibubarkan pada 2014, semalam tampil memohon maaf kepada keluarga mangsa Tragedi Kanjruhan selepas satu muat naik berbaur penghinaan dilakukan di media sosial kumpulan penyokong itu.

Muat naik di akaun Facebook IJF pada mulanya berkongsi sebuah foto Stadium Kanjuruhan yang diterbalikkan dengan kapsyen: “Sendiri cari masalah, sendiri hilang nyawa.”

Muat naik tersebut kemudiannya dipadam daripada akan Facebook IJF, sebelum satu kenyataan permohonan maaf dilakukan oleh kumpulan penyokong itu.

“Kami ingin menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas tindakan kami kerana tidak menjaga sensitiviti terhadap emosi keluarga mangsa-mangsa yang terkoban dalam kejadian rusuhan di Stadium Kanjuruhan tempoh hari,” ujar kenyataan tersebut.

Melalui muat naik tersebut, IJF menyatakan kekesalan atas kesan yang diberikan terhadap muat naik yang mereka lakukan sebelum ini.

Kami ingin menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas tindakan kami kerana tidak menjaga sensitiviti terhadap…

Posted by Inter Johor Firms on Monday, October 3, 2022

“Kami sedar tindakan tersebut adalah tidak wajar dilakukan, serta mendatangkan pelbagai perkara dan pandangan negative kepada negeri Johor secara khasnya. Bagi pihak admin page ini, kami sedar perkara itu adalah salah.

“Kami juga menyeru agar semua followers serta peminat-peminat di Johor, Malaysia dan Indonesia marilah kita sama-sama mendoakan kesejahteraan roh-roh mereka yang terkorban. Juga kepada mangsa-mangsa yang cedera agar mereka cepat sembuh.

“Kepada semua peminat bola sepak, marilah kita jadikan insiden ini sebagai iktibar dan jadikan sebagai pengajaran agar ianya tidak berulang lagi.

“Bola sepak menyatukan, bukan memusnahkan. Salam satu rumpun, salam pemdamaian, salam 1 Jiwa.”

Turut tular di media sosial adalah rakaman perbualan dua individu. Perbualan tersebut dipercayai di antara salah seorang anggota IJF idengan seorang lagi individu yang digelar Tuanku.

Melalui rakaman berdurasi 1 minit 31 saat itu, seorang individu dengan panggilan Tuanku meminta penjelasan atas apa yang berlaku – dipercayai berkaitan dengan muat naik di akaun Facebook IJF yang menghina mangsa Tragedi Kanjuruhan.

“Siapa budak-budak baru nak naik ni busukkan nama negeri Johor?” Antara soalan yang ditanya oleh Tuanku kepada individu tersebut.

“Patik baru dapat tahu ni Tuanku. Patik pun baru dapat tahu, tadi Mejar call patik,” jawab individu tersebut.

Selepas itu kedengaran individu dengan panggilan Tuanku memberikan nasihat agar individu tersebut bersama kumpulannya melakukan perkara yang lebih berfaedah seperti mencari rezeki kerana usia bukan semakin muda.

Walaupun nama IJF masih wujud, kumpulan penyokong itu dipercayai kini tidak aktif dan hanya tinggal kumpulan kecil sahaja.

Tragedi yang berlaku di Malang, Indonesia pada Sabtu lalu kini dianggap sebagai salah satu tragedi terburuk pernah berlaku di dalam dunia bola sepak.

Pelbagai laporan tidak rasmi dikongsi mengenai jumlah kematian, sehingga ada yang melaporkan lebih daripada 180 mangsa kini sudah disahkan meninggal dunia.

Kongsi artikel ini