Ibarat Pesta, Hujan Tidak Halang Lebih 60 Ribu Penyokong Gamatkan SNBJ Setakat Ini

Hujan lebat nampaknya tidak menghalang semangat lebih 60,000 penyokong pasukan negara berarak menuju ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada petang tadi.

Angka rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia sekitar jam 4 petang tadi menyatakan, 61,864 tiket perlawanan membabitkan perlawanan pasukan menentang Malaysia dan Bahrain telah terjual.

Beberapa video amatur di kalangan penyokong yang hadir turut merakam perarakan kumpulan penyokong Ultras Malaya menuju ke SNBJ.

Mulai berkumpul di perkarangan kompleks membeli belah SOGO di ibu kota, kumpulan penyokong Ultras Malaya kemudiannya berarak ke Masjid Jamek sebelum menuju ke SNBJ.

Mereka tiba di stesen LRT Bukit Jalil kira-kira jam 6 petang, iaitu 3 jam lebih awal sebelum sepak mula.

Laporan secara langsung oleh beberapa wartawan daripada beberapa media yang membuat liputan turut menggambarkan keadaan semasa di SNBJ yang dilanda hujan lebat selepas itu.

Air yang bertakung di permukaan padang semestinya akan menyukarkan kedua-dua pasukan.

Keadaan tersebut tidak dibantu oleh perlawanan di antara Turkmenistan dan Bangladesh yang berlangsung lebih awal di stadium yang sama.

Mungkinkah pihak penganjur atau pun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) perlu menggunakan kaedah ‘multiple stadium’ untuk penganjuran pada masa hadapan?

Kongsi artikel ini