Hubungan Keruh Dengan Messi Punca Griezmann Gagal Jaringkan Gol?

Sejak beberapa perlawanan lalu, prestasi Antoine Griezmann bersama Barcelona mulai dipersoalkan.

Dan pada ketika ini, hubungan beliau dengan kapten pasukan, Lionel Messi dikhabarkan keruh.

Griezmann dan Messi dilaporkan Diario Gol bertengkar saat sesi latihan pasukan. Pertengkaran kedua pemain bintang Blaugrana itu memaksa campur tangan Quique Setien dan rakan-rakan sepasukan untuk meleraikannya.

Punca pertengkaran Griezmann dan Messi belum diketahui. Namun, khabar angin menyatakan hubungan keduanya tidak harmoni sejak awal musim.

Diario Gol mendakwa Messi sudah tidak memberikan umpanan kepada Griezmann. Jika benar, perkembangan ini sudah tentu tidak sihat untuk pasukan.

Apatah lagi Barcelona kini sedang fokus dalam perburuan gelaran juara La Liga dan bersaing sengit dengan Real Madrid di kedudukan teratas saingan.

Hubungan yang keruh antara Messi dengan Griezmann akan mengundang masalah kepada perancangan pasukan. Situasi ini menyukarkan sasaran oleh Setien dicapai, termasuk di saingan UEFA Champions League.

Ketajaman Griezmann memang belum dilihat pada musim ini meskipun Barcelona membayar dengan harga yang mahal untuk pemain tersebut dari Atletico Madrid.

Penyerang berasal dari Perancis ini sehingga kini baru mencetak 14 gol dari 40 pertandingan di semua pertandingan.

Jumlah gol Griezmann setara dengan yang disumbangkan Suarez, namun pemain kebangsaan Uruguay itu tampil dalam jumlah perlawanan lebih sedikit iaitu 26 perlawanan.

Messi pula sudah menghasilkan 26 gol dari 34 perlawanan dalam semua pertandingan untuk Barcelona pada musim ini.

Kecederaan yang menimpa Suarez memaksa beban untuk memburu gol terarah kepada Messi sahaja. Situasi sama adalah berbeza ketika Messi berpasangan bersama Suarez dan juga Neymar sebelum ini.

Griezmann juga dilihat tidak pernah intim dengan Messi, jika dibandingkan dengan hubungan Messi bersama Suarez dan Neymar di luar padang.

Hubungan yang baik trio tersebut membolehkan ketiga-tiganya menghasilkan prestasi yang baik di dalam padang – walaupun saat salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan.

Griezmann sendiri sebelum ini mengakui dirinya tidak berapa rapat dengan Messi. Menurut Griezmann, Messi mempunyai sifat yang sama dengan beliau iaitu seorang yang pediam.

 

Kongsi artikel ini