Hilangkan Diri Tanpa Berita, Saddil Ramdani Timbulkan Amarah Kim Swee

Pemain sayap, Saddil Ramdani menimbulkan amarah Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee selepas gagal kembali melaporkan diri bersama pasukan itu selepas selesai tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan Indonesia.

Saddil sebelum ini beraksi bersama skuad Garuda di pusingan kelayakan Piala Asia 2023 dan berjaya membantu pasukan negaranya layak ke kejohanan tersebut pada tahun hadapan.

Sebelum ini Saddil turut diberi pelepasan oleh pihak pengurusan Sabah FC untuk beraksi di dalam beberapa perlawanan di acara bola Sukan SEA yang berlangsung di Hanoi, dan membantu pasukan itu memenangi pingat gangsa.

Menurut Kim Swee, Saddil sepatutnya melaporkan diri kepada Sabah FC pada 16 Jun lalu, dua hari selepas perlawanan terakhir membabitkan pasukan Indonesia di saingan Kumpulan A pusingan kelayakan Piala Asia 2023.

Dalam perlawanan tersebut, Saddil membantu pasukan kendalian Shin Tae-yong membelasah Nepal 7-0, dan turut berjaya menghasilkan satu jaringan dalam perlawanan itu.

“Saddil seharusnya kembali ke kelab dua hari setelah pertandingan antarabangsa terakhir (melawan Nepal),” kata Ong Kim Swee.

“Namun, dia belum kembali ke Kota Kinabalu. Pihak kelab mungkin akan memberikan dia denda dan peringata, keras. Ini tidak boleh diterima,” kata dia lagi.

Sebelum ini Sabah FC dikritik keras oleh penyokong Indonesia kerana pada mulanya enggan melepaskan pemain itu untuk beraksi di Sukan SEA.

Namun selepas perbincangan dan perubahan jadual saingan di Liga Malaysia, Sabah membenarkan pemain itu untuk beraksi bersama negaranya di temasya dwi tahunan itu.

Saddil kembali ke Kota Kinabalu untuk bersama Sabah FC untuk beraksi di saingan Liga Super selepas tugasan di Sukan SEA, namun dilepaskan semula untuk bersama skuad kebangsaan Indonesia selepas itu.

Sehingga kini keberadaan Saddil masih belum diketahui.

Kongsi artikel ini