Highlights EPL 2020/21 : Aubameyang Pimpin Arsenal Ke Landasan Kemenangan

Jaringan berganda daripada Pierre-Emerick Aubameyang telah mendapat komen positif dan pujian daripada pengurus Mikel Arteta setelah The Gunners menewaskan Newcastle United 3-0 di stadium Emirates awal pagi tadi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kapten Arsenal itu menyumbat gol pada separuh masa kedua selepas mendapat hantaran daripada Thomas Partey menewaskan penjaga gol , Karl Darlow dari jarak dekat pada minit ke 50 dan menyudahkan ‘cut back’ oleh Cedric Soares untuk memastikan Arsenal memperolehi tiga mata.

Selepas gagal menjaringkan gol menerusi 10 perlawanan terakhirnya dalam liga ini merupakan jaringan berganda yang pertama pada musim ini sejak final Piala FA 2019/2020 yang lalu dan pasti akan menjadi pembakar semangatnya untuk terus menjaringkan gol.

Bos Arsenal , Mikel Arteta mempercayai bahawa Aubameyang sedang membina keyakinannya untuk terus menjaringkan gol dan kini dia telah pun dapat membuktikannya.

“Dia terus mencubanya sejak dari separuh masa pertama dan saya fikir dia memiliki dua atau tiga peluang terhidang terlepas untuk menjaringkan gol.” kata Arteta kepada Sky Sports.

“Setelah dia menjaringkan dua gol hari ini saya fikir ia akan menjadi sesuatu yang baik untuk keyakinannya. Amat jelas baik buat pasukan ini kerana dia membantu kami memenangi perlawanan. Secara keseluruhan, saya sangat gembira.”

Pada minit ke 14 Aubameyang mendapat peluang menjaringkan gol tetapi gagal setelah percubaannya terkena palang walaupun gawang gol terbuka luas namun dia membalasnya semula pada separuh masa kedua.

Kembalinya Thomas Partey dalam kesebelasan utama Arsenal ternyata memberikan impak yang besar dalam perlawanan tersebut buat kali pertama sejak Disember yang lalu selepas mereka tewas kepada Tottenham.

Partey berganding dengan Smith Rowe dan Bukayo Saka telah membuatkan pertahanan Magpies sentiasa dalam kelemasan ketika The Gunners melancarkan serangan.

Pemain kebangsaan Ghana ini bermain selama 67 minit sebelum dikeluarkan membuatkan Arteta berasa sangat berpuas hati di atas persembahan yang ditunjukkan.

“Saya benar-benar gembira dengan prestasi pemain ini,” jelas Arteta.

“Prestasinya menjadi semakin baik ketika perlawanan berlangsung. Dia mempengaruhi corak persembahan pasukan. Sememangnya dia memberikan kami sesuatu yang berbeza berbanding pemain lain.

Satu gol lagi disumbangkan oleh Bukayo Saka yang mendapat bantuan gol oleh Emile Smith Rowe. Kedua-dua pemain tengah ini juga menunjukkan gandingan yang serasi di atas padang.

Arsenal kini berada di tangga ke 10 dalam senarai kedudukan kelab Liga Perdana Inggeris dengan pungutan 27 mata.

Kongsi artikel ini