[HIGHLIGHT]: Saksikan Aksi Tangkas Jan Oblak Bantu Atletico Singkir Liverpool

Jan Oblak menampilkan aksi terbaiknya dalam perlawanan menentang Liverpool di pusingan kalah mati untuk membantu Atletico mara ke suku akhir UEFA Champions League.

Pada perlawanan pertama tiga minggu lalu, Oblak tidak perlu bekerja keras kerana Liverpool tidak mempunyai sebarang percubaan tepat ke arah gawang.

Kerana itu, tidak menghairankan skuad kendalian Jurgen Klopp melakukan tekanan sejak dari mula dalam perlawanan di Anfield, menguasai 72% perlawanan.

Perlawanan itu turut menyaksikan Liverpool menghasilkan 34 percubaan, dan 11 daripadanya adalah percubaan tepat ke arah gawang- hanya untuk diselamatkan oleh Oblak.

Disebabkan aksi kebal Oblak, maka beliau turut menerima anugerah pemain terbaik perlawanan. Daripada 11 percubaan tepat tersebut, 9 daripadanya diselamatkan Oblak.

Ia adalah jumlah tertinggi yang dilakukan oleh penjaga gol dalam aksi UEFA Champions League pada musim ini.

Selepas perlawanan, Diego Simone menyamakan Oblak dengan Lionel Messi.

“Kami ada penjaga gol terbaik dunia, seperti Barcelona yang menurunkan Messi untuk menyelesaikan perlawanan.

“Oblak adalah yang terbaik, beliau memberikan kami penyelesaian. Kerana itu beliau berhak berada di mana beliau patut berada,” jelas Simone.

Tatkala Oblak menyerlah, Liverpool yang kehilangan khidmat Alisson akibat kecederaan bergelut dengan kesilapan yang dilakukan penjaga gol kedua, Adrian.

Kesilapan Adrian melakukan clearance memberikan Atletico peluang untuk menjaringkan gol pertama sekaligus membuka laluan skuad kendalian Simeone untuk menyingkirkan jaura bertahan itu.

 

 

Kongsi artikel ini