[HIGHLIGHT] Piala AFF B-19: Kemboja 1-2 Malaysia

Skuad Bawah 19 (B-19) Malaysia memulakan kempen Piala AFF B-19 di Indonesia dengan kemenangan selepas menewaskan Kemboja 2-1 sebentar tadi.

Tampil dengan corak permainan menarik, anak buah Hassan Sazali Waras melakukan serangan betubi-tubi sejak wisel permulaan sebelum akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-13 melalui Najmudin Akmal.

Gerakan yang bermula dari bahagian tengah itu menyaksikan Najmudin menggunakan ruang yang sebaiknya sebelum pemain itu melakukan penyudah cukup klinikal.

Rentak permainan pasukan negara selepas itu tidak berubah, dan beberapa gerakan menarik terus dilakukan,

Sekali lagi ia membuahkan hasil, kali ini melalui usaha dan skil menarik Haiqal Haqeemi Hairi yang tenang mengawal bola walaupun dikawal pemain, sebelum merembat masuk dengan sepakan gunting untuk gol kedua pasukan negara.

Kemboja bagaimana pun berjaya mendapatkan gol sagu hati pada minit ke-56 yang dijaringkan oleh Chanvibol Davit, selepas pemain itu menyambar peluang yang terhidang di depan mata.

Pasukan negara bagaimana pun gagal meneruskan momentum pada babak pertama, tetapi kemenangan tetap menjadi milik Malaysia.

Kemenangan tersebut turut meletakkan pasukan negara di  tangga kedua Kumpulan B, berkongsi tiga mata bersama pendahulu, Laos dan Kemboja di kedudukan ketiga.

Pasukan muda negara akan berhadapan Singapura selepas ini pada Khamis hadapan, Timor-Leste (9 Julai) dan perlawanan terakhir bertemu Laos (11 Julai).

Kongsi artikel ini