Liverpool kini berada di ambang kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas membelasah Crystal Palace 4-0 di Anfield pada awal pagi tadi.
Berbaki lima lagi perlawanan untuk dilalui, skuad kendalian Jurgen Klopp kini memerlukan hanya dua mata sahaja lagi untuk menamatkan penantian 30 tahun kejuaraan.
Sekiranya Manchester City gagal menewaskan Chelsea pada Khamis akan datang, maka The Reds akan dinobatkan selaku juara secara automatik.
Ia adalah satu penantian – selepas pertandingan ditangguhkan – namun tidak ada perkara yang mampu menyekat kemaraan Liverpool untuk kejuaraan pada kali ini.
Liverpool nyata bukan saingan buat Palace – turut menyaksikan Mohamed Salah dan Sadio Mane kedua-duanya berada di dalam senarai penjaring.
Trent Alexander-Arnold memberikan gol pembukaan untuk Liverpool dengan sepakan percuma menakjubkan pada minit ke-23.
Salah menggandakan kedudukan sebelum rehat, dan pada ketika ini sudah ada jangkaan perlawanan ini sudah pun dimenangi.
𝗙𝗔𝗕 🚀
It gets better every time 😍 pic.twitter.com/j2gZManM1C
— Liverpool FC (at 🏠) (@LFC) June 24, 2020
Liverpool tidak menunggu lama untuk gol ketiga selepas babak kedua bersambung, apabila rembatan deras Fabinho dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol lawan.
Mane pula dengan mudah menolak masuk bola selepas menerima hantaran hasil gerakan Roberto Firmino dan Salah.
Maka Khamis ini langit mungkin bertukar warna merah dan Liverpool berkemungkinan bergelar juara Liga Inggeris buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun.
Tidak dinafikan Liverpool beraksi cemerlang pada musim ini, dan tidak ada siapa berhak menafikannya kali ini.
Soalan seterusnya adalah, adakah ini permulaan satu lagi dominasi dan dinasti dalam bola sepak Inggeris?