[Highlight]: Harimau Muda Harungi Thriller 7 Gol Sebelum Tewaskan Timor Leste

Skuad Harimau Muda bawah 19 (B-19) sah mara ke separuh akhir Kejuaraan Piala AFF B-19 Tahun (B-19)  selepas menewaskan Timor Leste 4-3 malam tadi.

Berlangsung di Stadium Madya, Jakarta, pasukan negara terlebih dahulu memperoleh gol pendahuluan hasil penyudah Muhammad Najmudin Akmal menerusi sepakan percuma seawal minit ke-9 perlawanan.

Bagimanapun Timor Leste yang turut diberi jolokan ‘The Raising Sun’ berjaya menyamakan kedudukan hanya dua minit kemudian menerusi ketua pasukan Cristevao Moniz Fernandes.

Pemain negara, Adam Farhan Mohd Faizal mencetak jaringan kedua negara pada minit ke-15 perlawanan untuk mengembalikan kelebihan kepada Malaysia dan kedudukan menjadi 2-1 sehingga tamat babak pertama perlawanan.

Babak kedua, skuad kendalian Hassan Sazali Mohd Waras berjaya melebarkan kelebihan pasukan negara melalui jaringan Muhammad Alif Izwan pada minit ke-52.

Skuad Timor Leste kendalian Lee Min Young enggan menyerah kalah sebelum turut menjaringkan gol kedua pasukan melalui Mario Donasio Quintao selang dua minit kemudian.

Pada minit ke-63 Adam Farhan sekali lagi meledak gol keempat negara untuk menjadikan kedudukan 4-2. Sekali lagi Timor Leste berjaya merapatkan kedudukan selepas itu apabila gerakan cantik Mario Donasio membuahkan hasil  pada minit ke-76.

Pasukan negara kemudiannya berjaya mengekang Timor Leste dan kedudukan jaringan kekal 3-4 sehingga wisel penamat.

Kemenangan tersebut menyaksikan Juara 2018, Malaysia, berada di kedudukan kedua Kumpulan B dengan tujuh mata selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Kemboja pada aksi sulung 5 Julai lalu dan mengikat Singapura tanpa jaringan, kelmarin.

“Apa yang merisaukan saya ialah barisan pertahanan, walaupun kita telah menjaringkan gol tapi kita juga bolos dengan cepat,” kata Hassan Sazali Waras mengenai prestasi anak buahnya pada malam tadi.

“Saya lebih memikirkan kadar rehat pemain saya…Saya tidak mencari kemenangan sehingga memaksa pemain,” katanya menerusi klip audio yang dikongsikan kepada media.”

Kedudukan Kumpulan B menyaksikan Laos kekal di kedudukan teratas dengan sembilan mata walaupun beraksi kurang satu perlawanan.

Kemboja dan Timor Leste pula berkongsi tiga mata, masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat, diikuti Singapura di tempat tercorot dengan satu mata.

Harimau Muda bakal menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Laos dalam satu lagi aksi pukul 4 petang (Malaysia) pada Isnin bagi menentukan juara kumpulan sebelum ke peringkat separuh akhir untuk bertemu sama ada Thailand atau Vietnam pada 13 Julai ini.

Kongsi artikel ini