[HIGHLIGHT]: Catat Kemenangan Ke-13 Berturut-Turut, Old Trafford Selayaknya Digelar ‘Theatre Of Dreams’

Old Trafford kembali menjadi kubu kuat Manchester United dan menjadi gelanggang digeruni lawan apabila skuad kendalian Erik ten Hag menjadikan Crystal Palace sebagai mangsa terbaru mereka di The Theatre of Dreams.

Secara keseluruhan pada musim ini, Manchester United hanya keciciran dua mata di Old Trafford pada musim ini.

Marcus Rashford meneruskan rentak sentuhan berbisanya di hadapan gawang lawan sejak Piala Dunia lalu untuk membantu Manchester United yang beraksi dengan 10 pemain menewaskan Crystal Palace 2-1.

Bruno Fernandes membuka tirai jaringan melalui sepakan penalti selepas bantuan video pengadil (VAR) mendapati bola terkena tangan Will Hughes untuk United mendahului perlawanan ini seawal minit ke-7.

United seperti tiada masalah untuk meneruskan rentetan perlawanan selepas Marcus Rashford berjaya menyambar hantaran lintang Luke Shaw – 17 minit selepas babak kedua bermula – untuk melebarkan kedudukan.

Jaringan tersebut merupakan yang ke-11 buat Rashford untuk United sejak beliau kembali dari Qatar.

Tatkala United dijangka akan mendominasi penuh dan akan menang mudah perlawanan ini, keadaan tiba-tiba berubah selepas 70 minit perlawanan berlangsung.

Pertengkaran di antara pemain kedua-dua pasukan menyebabkan Anthony dan Jefferey Schlupp dilayangkan kad kuning. Semakan susulan melalui VAR kemudiannya turut mendapati Casemiro mencekik leger Hughes dalam situasi panas itu.

Situasi tersebut menyebabkan pengadil perlawanan, Andre Marriner tidak mempunyai pilihan melainkan terus melayangkan kad merah – bermakna Casemiro akan terlepas 3 perlawanan domestik selepas ini.

Mempunyai kelebihan pemain di atas padang, Palace mulai mengasak dan berjaya mendapatkan satu gol melalui Schlupp. Ini menjadikan momentum perlawanan milik Palace dan United terpaksa melakukan perubahan untuk mempertahankan kelebihan yang mereka miliki.

Beberapa perubagan dilakukan oleh Ten Hag termasuk memasuukan dua bek tengah, Harry Maguire dan Victor Lindelof untuk berpasangan dengan Lisandro Martinez dan Raphael Varane bermakna United menamatkan perlawanan dengan 4 bek tengah.

Kemenangan ke-13 di Old Trafford ini membenarkan United kini menduduki tangga ke-3 kedudukan Liga Perdana Inggeris, tatkala Crystal Palace kekal di kedudukan ke-12 buat masa ini.

Kongsi artikel ini