Hebat Di Padang Bola, Messi Uji Diri Kemampuan Di Dalam Bidang Lakonan Pula

Kemampuan Lionel Messi di atas padang tidak perlu dipersoalkan. Tetapi kini bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu akan menguji kemampuan di dalam bidang lakonan setelah disahkan akan membintangi sebuah drama televisyen.

Kapten Argentina itu dilaporkan akan tampil di Los Protectores, sebuah drama bersiri yang diterbitkan di negaranya. Di dalam drama itulah nanti kemampuan Messi di dalam bidang yang berbeza akan diukur setelah ia mula disiarkan untuk tontonan awam.

Drama TV apa yang dibintangi Messi?

Pemain Argentina itu akan muncul di musim kedua siri Los Protectores, sebuah drama komedi yang menceritakan kisah tiga ejen bola sepak yang berhadapan dengan kemungkinan untuk muflis.

Di dalam siri itu, ketiga-tiganya berusaha untuk mendapatkan bintang bola sepak, iaitu Messi untuk menyelamatkan bisnes dan karier sebagai ejen.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Star+ Latinoamérica (@starplusla)

Drama tersebut akan diterbitkan pada 2023, dan turut akan menampilkan aksi Messi bersama PSG.

“[Messi] benar-benar mengejutkan kita semua bukan hanya dengan kualiti sebagai seorang peribadi tetapi juga dengan kualiti lakonannya,” kata salah seorang pelakon, Andres Parra yang membintangi drama tersebut.

Messi bukanlah bintang bola sepak pertama yang meluangkan masa daripada jadual yang sibuk sebagai seorang pemain profesional untuk muncul di kaca televisyen di dalam bidang lakonan.

Beliau juga bukan pemain PSG pertama yang berbuat demikian. Rakan sepasukan di Barcelona dan kini di PSG, Neymar pernah melakukan penampilan di dalam siri drama terkenal Netflix, Money Heist.

David Beckham turut pernah melakukan penampilan di bidang lakonan ketika masih bergelar pemain di dalam sitkom, Only Fools and Horses yang begitu popular di Britain.

Pemain legenda Liverpool, Grame Souness turut pernah muncul dalam drama terbitan BBC2, Boys from the Blackstuff ketika masih aktif beraksi di Anfield.

Kongsi artikel ini