Haydee Agras Ikut Jejak Langkah Mora, Turut Umum Tinggalkan JDT

Haydee Agras pernah mendapat perhatian penyokong bola sepak Malaysia beberapa bulan yang lalu. Ini kerana amat jarang sekali saingan bola sepak di negara ini menampilkan seorang wanita sebagai ‘orang kuat’ di sebalik tabir pasukan.

Dan peranan Haydee Agras di kalangan staff kejurulatihan JDYT juga sebenarnya bukan calang-calang tugas. Beliau merupakan seorang penganalisis yang bertanggungjawab membantu barisan kejurulatihan pasukan menilai kekuatan dan kelebihan lawan, selain kemampuan pasukan sendiri.

Bagaimanapun sebentar tadi Haydee telah mengumumkan beliau telah meninggalkan juara Liga Super Malaysia (MSL) lapan kali berturut-turut.

Perkara itu diumumkan oleh Haydee melalui IG Story melalui sebuah kenyataan.

“Sejak 2019 saya telah menjadi sebahagian daripada kelab hebbat ini, tetapi hari ini adalah hari untuk mengucapkan selamat tinggal.

“Saya telah belajar, menikmati dan belajar melalui pengalaman yang saya akan bawa sepanjang umur hidup saya.

“Terima kasih kepada @hrhcrownprinceofjohor kerana membenarkan saya menjadi sebahagian daripada semua ini. Saya akan sentiasa bersyukur untuk keakraban, layanan dan kemudahan yang diberikan untuk membantu saya membangunkan kerja saya dari hari pertama sehingga ke akhirnya.

“Ia adalah satu penghormatan untuk berjuang di sisi anda.,” kata Haydee melalui perkongsiannya.

Penganalisis yang juga berasal dari Mexico dan pernah bergelar pemain futsal profesional itu turut tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada bekas Ketua Jurulatih, Benjamin Mora.

“Terima kasih sebanyaknya kepada @misterbenjaminmora kerana memberikan saya peluang berada di dalam pasukan kejurlatihan anda.

“Sikap profesional, etika kerja, dan sikap kemanusiaan yang anda miliki sebenarnya adalah lebih besar daripada kejayaan yang anda raih sebagai jurulatih JDT.

“[kata-kata] itu cukup untuk mengukapkannya. Legasi. Tiba masa untuk bermula semula. Tanpa rasa penat. Luaskan Kuasamu Johor.”

Perkhabaran Haydee meninggalkan JDT dipercayai berkait rapat dengan perubahan struktur kejurulatihan yang berlaku di kelab itu pada ketika ini.

Selepas ditinggalkan Benjamin Mora, JDT telah melantik Hector Bidoglio sebagai pengendali baharu skuad utama Harimau Selatan.

Kongsi artikel ini