Akhirnya hari yang dinanti-nantikan ramai penyokong Kedah telah tiba. Kedah di Asia, dan ia bermula dengan langkah positif.
Pasukan Kedah FA memulakan kempen kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan langkah cemerlang apabila membenam wakil Hong Kong 5-1 di Stadium Darul Aman pada malam tadi.
Selain daripada perlawanan pertama ini, antara yang turut menjadi tumpuan adalah gandingan Kpah Sherman dan Tchetche Kipre.
Kpah adalah penjaring terbanyak Liga Super pada musim lalu. Manakala prestasi Kipre pula menjadi persoalan ramai pihak ketika bersama Terengganu sejak beberapa musim lalu.
Diamkan pengkritik
Perlawanan ini pantas digunakan oleh Kipre untuk mendiamkan pengkritik dan mereka yang ragu akan kebolehan beliau.
Ada yang mengatakan prestasi beliau sudah tidak sehebat ketika baru mulai menyertai Terengganu dahulu. Dalam erti kata lain, Kipre adalah penyerang yang sudah ‘off peak’.
Saat dimana Kipre Tchetche menjaringkan gol dan kesemua rakan-rakan seperjuangan melompat kegembiraan! 🔥#terengganufc #webleedblackandwhite
Posted by Terengganu Football Club on Tuesday, 16 April 2019
Namun jika debut kompetitif Kipre semalam dijadikan rujukan, ia menampilkan perkara yang sebaliknya.
Nyata Kipre tidak sekadar mahu bergelar penjaring pada perlawanan kompetitif pertamanya ini, apabila turut berjaya menghasilkan hatrik dalam perlawanan ini.
Gandingan Kipre bersama Kpah nyata menjadi.
Kipre menyinar bersama Kedah
Tidak menunggu lama, penyerang import skuad Lang Merah, Tchetche Kipre meledakkan gol pertama buat pasukan baharunya itu pada minit ke-3 perlawanan.
Gandingan mantap Kipre dan seorang lagi penyerang Kedah, Kpah Sean Sherman mengucar-ngacirkan pertahanan pelawat.
Hasilnya Kipre berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-21 selepas menyudahkan bola tampanan tidak kemas Ho Yui hasil rembatan Mohd Rizal Ghazali.
Tai Po FC tidak berdiam diri dan menggandakan asakan dengan beberapa percubaan berbahaya ke gawang Kedah.
Bagaimanapun kehilangan seorang pemain, selepas Sun Ming Him dilayangkan kad merah kerana menarik Kipre dari belakang pada minit ke-33.
Bersambung babak kedua, Kedah yang memiliki kelebihan pemain, meledak gol ketiga menerusi Muhammad Hadin Azman pada minit ke-46 yang merembat masuk bola menerjah kiri gol lawan.
Muhammad Hadin kemudian menambah gol keempat Kedah pada minit ke-66 sebelum pasukan pelawat memperoleh satu gol sagu hati menerusi Chan Man Fai seminit kemudian.
Hujung permainan, minit ke-92 (masa tambahan) Kipre melengkahpan hatrik dan menjaringkan gol kelima Kedah sebelum wisel penamat ditiupkan pengadil dari Qatar, Saodh Ali Hj Al-Adba.
Analisis: Kipre bersama Kedah
Dengan adanya Kpah, ini bermakna pemain antarabangsa Liberia itu adala target man, dalam sistem permainan skuad Aidil Sharin.
Di mana pula posisi Kipre? Kerana ketika bersama Terengganu sejak beberapa musim yang lalu, beliau turut memainkan peranan yang sama.
🔰MAN OF THE MATCH!Tchetche Kipre‼Jaringan hatrik beliau pada malam ini sebagai hadiah pembukaan 2020 untuk semua penyokong Hijau Kuning.Ucapan anda untuk Mat Kipre?
Posted by FA Kedah on Tuesday, 21 January 2020
Perkara ini pernah kami jelaskan dulu. Tapi mari kita melakukan ulangkaji sekali lagi.
Berbeza dengan Kpah Sherman, Tchetche Kipre pula adalah pemain penyerang dengan baka berbeza. Kami pernah melakukan analisis mengenai pemain ini ketika beraksi bersama Terengganu FC.
Apa posisi sebenar?
Di atas kertas, Tchetche Kipre bermain di bahagian tengah dalam rangkaian 3 serangan Terengganu FC.
Tetapi jika mobiliti dan gerakan Tcheche diambil kira dalam salah satu perlawanan ketika di bawah bimbingan Irfan bakti, pengendali veteran itu menjadikan beliau mirip No.9 jadian.
Namun demikian posisi sebenar Tchetche adalah sebagai deep-lying forward. Tchethce bukan penyerang No.9 tipikal yang menunggu bola untuk disudahkan.
Beliau akan turut sedikit ke bawah, untuk mendapatkan bola, sebelum menggunakan kelebihan teknikal beliau untuk memberi masalah kepada pertahanan kiri atau kanan pertahanan lawan.
Jika anda sukar membayangkan posisi penyerang dengan peranan deep-lying forward, ambil contoh Wayne Rooney.
Penyerang baka ini lebih cenderung turun sedikit ke bawah, mencipta peluang dan mencari ruang, sebelum menjaringkan gol.
Pemain dengan baka seperti Kipre sebenarnya amat istimewa. Beliau adalah penyerang yang boleh beroperasi sebagai No.10, No.9 dan juga sebagai penyerang sayap.
Jika beliau diarahkan bermain sebagai penyerang utama dalam sistem serangan bertiga, beliau bukanlah no.9 yang hanya menunggu di atas dan suka ‘duduk diam’ – seperti ketika bersama TFC.
Kipre akan tetap turun ke bawah, terutama sekali ke tengah dan membuka ruang kepada rakan lain di kiri dan kanan. Itulah peranan ‘deep-lying forward’.
Rumusan
Dalam perlawanan menentang Tai Po FC pada malam tadi, kita boleh melihat bagaimana Kipre bebas mengekspresikan dirinya.
Ia membuatkan Kipre menjadi pemain yang sukar untuk dikawal oleh bahagian pertahanan lawan kerana tidak akan duduk diam di zon tertentu permainan sahaja.
Apatah lagi kini beliau digandingkan dengan pemain seperti Kpah Sherman. Tumpuan lawan mungkin tertumpu kepada target man, tanpa menyedari ancaman yang boleh dibawa oleh Kipre.
Tahniah buat Kedah dan Kipre. Kini misi ke Seoul!