Hatrick Ryan Lambert Tarik Perhatian Media Antarabangsa

Hatrik oleh pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL City), Ryan Lambert ketika membelasah Sarawak United 5-0 baru-baru ini turut menarik perhatian media yang berpengkalan di United Kingdom, BBC.

Ryan adalah pemain keturunan Inggeris-Malaysia, dan turut pernah beraksi di Australia dan Belanda sebelum menyertai KL City pada musim 2021.

Selepas perlawanan tempoh hari, Ryan mengakui hatrik menentang Sarawak United itu adalah hatrik pertama yang beliau hasilkan sepanjang karier bola sepaknya.

Dua daripada jaringan yang dihasilkan oleh Ryan dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak KLFA, Cheras dihasilkan daripada luar kotak penalti, selepas rembatan voli deras yang dihasilkan untuk gol pertamanya dalam perlawanan tersebut.

Melalui akaun media sosial BBCMOTD, yang sebenarnya sebuah rancangan yang dihoskan oleh bekas penyerang England, Gary Lineker, kesemua jaringan Ryan di dalam perlawanan tersebut turut dikongsikan sebagai ‘hatrik hari ini’.

“Bagaiamana ini untuk jaringan hatrik! Ryan Lambert dengan edisi koleksinya di Malaysia,” tulis BBCMOTD sebagai kapsyen.

Di dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak KLFA, Cheras pada Rabu, KL City membuka tirai jaringan melalui kapten pasukan, Paulo Josue pada minit ke-27 perlawanan selepas pemain itu tidak mensia-siakan dummy cantik Akram Mahinan hasil gerakan sepasukan dari sebelah kiri serangan.

Selepas itu, malam menjadi miliki Ryan Lambert apabila pemain itu menjarakkan kedudukan buat KL City melalui rembatan deras kaki kanan menewaskan Sharbinee Alawi untuk menjadikan kedudukan 2-0 selang dua minit selepas gol pembukaan Paulo Josue.

Ryan Lambert terus membuktikan mengapa beliau turut harus diberikan perhatian oleh barisan kejurulatihan negara selepas ini apabila sekali lagi meledak gol kedua peribadi di dalam perlawanan ini, untuk menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-41 perlawanan melalui percubaan dari luar kotak penalti.

Pesta gol KL City FC bersambung pada babak kedua apabila Lambert terus mencuri tumpuan selepas melengkapkan hatriknya pada minit ke-52, juga menerusi rembatan kencang – sekali lagi menggunakan kaki kanan dan dari luar kotak penalti.

Kemenangan bergaya KL City di dalam perlawanan ini kemudiannya dilengkapkan oleh jaringan Jordan Mintah dengan gol kelima pada minit ke-85.

“Saya tidak pernah menjangkakan ini [hatrik]. Saya tidak pernah menjaringkan lebih daripada dua perlawanan dalam satu perlawanan.

“Ia [kemenangan] amat penting untuk moral kami, terutama selepas kekalahan lalu, dan kami sepatutnya beraksi lebih baik menentang pasukan yang berada di bawah.

“Saya berharap prestasi ini mampu dibawa oleh pasukan menuju perlawanan Piala AFC [menentang Sogdiana di Inter Zonal Final],” ujar beliau ringkas.

 

Kongsi artikel ini