“Hanya Anak jati Selangor Yang Dapat Rasakan Kesedihan” – Sultan Selangor Dirayu Selamatkan Stadium Shah Alam

Selepas beberapa agensi berita tempatan semalam melaporkan Stadium Shah Alam bakal diruntuhkan, hari ini timbul pihak merayu campur tangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mendesak kerajaan negeri menarik balik cadangan tersebut.

Laporan beberapa agensi berita semalam memetik kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang bercadang melakukan pembangunan semula stadium tersebut termasuk Stadium Melawati.

Malah Amirudin dalam kenyataan tersebut berkata keputusan untuk membangunkan semula stadium tersebut akan dilakukan di dalam masa terdekat.

Namun bagi Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Shah Alam perkara itu tidak sepatutnya dilakukan kerana stadium tersebut begitu bermakna kepada rakyat Selangor, dan menjadi bukti janji Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang mahu pentadbiran lengkap di negeri ini.

“Almarhum ayahanda Tuanku sendiri nak melihat kita mempunyai sebuah stadium bertaraf antarabangsa dan terkenal di Asia Tenggara, malah ramai pemain antarabangsa bermain di stadium ini.

“Saya merayu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin dapat agar ia dapat dipertahankan dan keputusan Kerajaan Negeri ini dapat ditarik balik,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Stadium Shah Alam, di sini, hari ini.

“Sepatutnya Stadium Shah Alam dipertahankan kerana sangat dekat dengan sejarah penubuhan Bandaraya Shah Alam itu sendiri yang dicetuskan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

“Banyak memori indah serta kejayaan terlakar di Stadium Shah Alam dan hanya anak jati Selangor yang dapat rasakan kesedihan dan kebimbangan sebaik sahaja berita ia hendak dirobohkan tersebar.

“Orang luar Selangor mungkin tidak mempunyai perasaan begitu, tetapi anak jati Selangor yang melihat sendiri stadium ini dirancang, dibina dan dirasmikan oleh Almarhum Sultan Salahuddin akan merasakan kesedihan jika benar ia akan lenyap dari pandangan.

“Pembangunan pesat di sekitar Stadium Shah Alam termasuk penjaja kecil dan pasar malam seharusnya menjadi kelebihan untuk stadium berkenaan hidup,” katanya lagi.

Beberapa laporan berita tempatan juga menyatakan Stadium Shah Alam yang sebelum ini menjadi gelanggang tuan rumah pasukan bola sepak Selangor akan diubah menjadi stadium bola sepak yang berkapasiti lebih kecil, yang boleh memuatkan 30,000 sehingga 40,000 tempat duduk.

Kongsi artikel ini