Expand To Show Full Article
Hamidin Sahkan MFL Saman iflix - Grandstand Kita

Hamidin Sahkan MFL Saman iflix

Pihak Malaysian Football League (MFL) mengesahkan telah mengambil tindakan undang-undang terhadap platform penyedia video-on-demand, iflix kerana pelanggaran kontrak.

Sebelum ini difahamkan MFL dan iflix telah menandatangani kontrak selama 10 tahun pada 2018 untuk menyiarkan secara langsung siaran Liga Super, Liga Premier, Piala Malaysia dan Piala FA di portal milik mereka secara percuma.

“Kami telah mengambil tindakan undang-undang terhadap iflix,” kata Presiden MFL Datuk Hamidin Amin pada hari ini.

“Mereka gagal memenuhi kontrak dengan MFL untuk separuh musim 2018 dan keseluruhan musim 2019.

“Saya tidak boleh mendedahkan lebih banyak butiran kerana ia adalah kes mahkamah.”

Iflix baru baru ini mengumumkan bahawa syarikat mereka akan diambil alih oleh Tencent. Ini selepas Iflix berdepan dengan kerugian yang sangat besar.

Berbalik ke tahun 2018, iflix melaporkan mereka mengalami kerugian bersih AS $158.1 juta. Setahun kemudian pada bulan September, iflix hanya mempunyai AS $12.7 juta dalam akaun banknya.

Akhirnya, pada bulan April 2020, pengasas bersama Patrick Grove dan Luke Elliot memutuskan untuk mengundurkan diri dari syarikat itu, dan ahli lembaga baru dari Mandala Asset Solutions di Australia dilantik.

Mandala Asset Solutions sebelum ini mengakui mereka sebagai pakar dalam situasi aset yang bermasalah. Tetapi nampaknya syarikat itu masih menghadapi masalah membawa keuntungan.

Ini bukan kali pertama MFL mempunyai isu dengan penaja dan hak penyiaran.

Pada 2016, FAM menandatangani perjanjian selama 15 tahun bernilai RM1.26 billion dengan sebuah syarikat antarabangsa MP & Silva yang terkubur begitu sahaja.

Kegagalan tersebut menyebabkan Football Malaysia Liability Limited Partnership (FMLLP) diwujudkan untuk memudahkan urusan pentadburang liga.

Bekas Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut mendedahkan badan itu terpaksa membayar sehingga RM25  juta akibat kegagalan perjanjuan sebelum ini.

Tahun lalu MFL turut menyaman Telekom Malaysia (TM) kerana menarik diri sebagai penaja, sebelum perkara itu diselesaikan secara dalaman antara kedua-dua entiti.

 

Kongsi artikel ini