Haiqal Hanafi Catat Rekod Kedua Terpantas 100 Meter Negara, Dibezakan 0.02 Saat Daripada Rekod Kebangsaan Azeem Fahmi

Jika perkembangan terkini diambil kira, maka arena olahraga negara boleh berbangga kerana tidak akan ketandusan bakat di dalam arena pecut 100 meter.

Pada 2 Ogos lalu, Muhammad Azeem Fahmi berjaya memecah rekod kebangsaan di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia dengan catatan 10.09 saat sekaligus memadam catatan 10.18 saat yang dihasilkan oleh Khairul Hafiz Jantan di SUKMA 2016 yang berlangsung di Kuching, Sarawak.

Dan beberapa hari yang lalu, giliran Haiqal Hanafi mencipta nama apabila merekodkan 10.12 saat di dalam acara yang sama di temasya Sukan Solidariti Islam yang sedang berlangsung di Konya, Turki.

Catatan tersebut yang hanya kurang 0.02 saat daripada rekod kebangsaan yang dihasilkan Azeem sebelum itu direkodkan ketika acara saringan yang membenarkan beliau layak ke separuh akhir.

Selain Haiqal, turut menyertai acara tersebut adalah Khairul Hafiz Jantan. Khairul Hafiz turut berjaya melayakakn diri ke separuh akhir acara 100 meter di Konya apabila merekodkan larian 10.26 saat di acara saringan.

Catatan tersebut bagaimanapun masih jauh berbanding rekod peribadi 10.18 saat yang dihasilkannya 6 tahun lalu di Kuching, Sarawak.

Impian kedua-dua pelari untuk mara ke acara akhir 100 meter bagaimanapun tidak kesampaian apabila masing-masing ini menamatkan saingan peringkat tersebut di tempat ke-17 dan ke-18 daripada 24 peserta.

Di separuh akhir Haiqal Hanafi gagal mengulangi catatan awalnya apabila sekadar mencatat 10.46 saat, manakala Khairul Hafiz pula dengan catatan 10.49 saat.

Kongsi artikel ini