‘Hadiah Kemenangan Atasi JDT’ – KL City Bakal Kaut RM7.4 Juta Sekiranya Muncul Juara Piala AFC 2022

Berjaya mara ke perlawanan akhir Piala AFC 2022 bermakna Kuala Lumpur City FC (KL City) akan mengaut jumlah wang kemenangan yang lebih besar daripada JDT di pentas Asia pada musim ini,

KL City meneruskan rentak cemerlang di pertandingan Piala AFC 2022 setelah berjaya menundukkan wakil Uzbekistan, Sogdiana 5-3 menerusi penentuan penalti pada aksi final antara zon di Stadium Kompleks Sukan Sogdiana.

Perlawanan tersebut terpaksa ditentukan melalui penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan walaupun telah beraksi selama 120 minit, termasuk waktu tambahan.

Wang hadiah JDT

Walaupun beraksi di pertandingan aras dua pertandingan kelab-kelab Asia berbanding JDT, KL City bakal meraih hadiah wang kemenangan lebih besar di Piala AFC pada musim ini.

Sebagai perbandingan, JDT yang mara sehingga pusingan kalah mati (16 pasukan terbaik) di pertandingan AFC Champions League, telah meraih hadiah keseluruhan berjulah USD310,000.

Jumlah tersebut adalah hasil 4 kemenangan di saingan peringkat kumpulan (USD50,000 setiap kemenangan), dan 1 keputusan seri (USD10,000).

Kejayaan melayakkan diri ke pusingan 16 pasukan terbaik pula membenarkan JDT menerima tambahan wang hadiah berjumlah (USD100,000).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang wang hadiah yang dikutip oleh JDT dari pertandingan AFC Champions League pada musim ini mencecah USD310,000 atau bersamaan dengan RM1,435,455.

Wang hadiah KL City

Berbeza dengan perjalanan JDT di AFC Champions League, KL City mara lebih jauh di pertandingan Piala AFC apabila mara ke perlawanan akhir Piala AFC.

Berjaya menewaskan PSM Makassar 5-2 dalam aksi final Zon Asean di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ogos lalu, membenarkan KL City meraih USD100,000.

Kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala AFC 2022 pula bermakna KL City akan mengaut tambahan USD1.5 juta sekiranya bergelar juara pada 22 Oktober nanti, atau sekadar meraih USD750,000 jika mengakhiri pertandingan ini selaku naib juara.

Ini bermakna jumlah keseluruhan yang mampu diraih oleh KL City sekiranya bergelar juara adalah sebanyak USD1.6 juta (RM7.41 juta) atau pun USD850,000 (RM3.9 juta) sekiranya muncul sebagai naib juara.

Rumusan

Kiraan jumlah yang diraih oleh JDT dan KL City ini adalah berdasarkan jumlah hadiah wang kemenangan yang dijanjikan oleh AFC untuk pasukan yang mengambil bahagian di pertandingan anjuran badan bola sepak Asia itu.

AFC Champions League sememangnya adalah pertandingan yang lebih besar berbanding Piala AFC untuk pertandingan kelab-kelab Asia dan menjanjikan hadiah kewangan yang lebih besar sekiranya sesebuah pasukan mampu mara lebih jauh.

Namun di dalam kes ini, KL City berjaya mara ke perlawanan akhir Piala AFC yang menjadikan hadiah kewangan yang bakal diterima oleh pasukan itu menjadi lebih besar berbanding apa yang diraih oleh JDT pada musim ini.

Kongsi artikel ini