Expand To Show Full Article
Gol 'Screamer' Lacazette Memukau, Tetapi Arsenal Memang Ada Penyakit Lama Yang Kronik - Grandstand Kita

Gol ‘Screamer’ Lacazette Memukau, Tetapi Arsenal Memang Ada Penyakit Lama Yang Kronik

Tandukan minit akhir Toby Alderweireld menjadi gol kemenangan untuk Tottenham Hotspur dalam perlawanan derbi London Utara yang berlangsung dengan sengit pada awal pagi tadi.

Atmosfera sebelum perlawanan agak janggal mengambil kira ini adalah perlawanan derbi.

Namun tahap intensiti dan kompetitif perlawanan ini sebaik wisel permulaan ditiup pengadil tidak dapat dinafikan.

Arsenal mendahului perlawanan pada minit ke-16 perlawanan melalui gol ‘screamer’ Alexandre Lacazette yang langsung menewaskan Hugo Lloris.

Namun skuad kendalian Jose Mourinho berjaya menyamakan kedudukan tiga minit selepas itu selepas Son Heung-min menghukum kesilapanan Sead Kolasinac dan David Luiz di bahagian pertahanan.

Kedua-dua pasukan saling mencipta peluang selepas itu. Percubaan Ben Davies dari jarak 30 meter misalnya memaksa penjaga gol Arsenal, Emiliano Martinez bertindak cemerlang menepis keluar bola.

Manakala percubaan Pierre Emerick-Aubameyang pada babak kedua perlawanan pula sekadar mengegarkan palang gol.

Arsenal dengan penyakit lama

Arsenal mendominasi perlawanan ini namun ianya Spurs yang berjaya menemukan gol kemenangan tatkala perlawanan berbaki lagi sembilan minit.

Pemain pertahanan, Alderweireld berjaya menanduk masuk sepakan penjuru Son untuk memastikan Spurs kini berada di kedudukan ke-8, ketinggalan dua mata sahaja di belakang Arsenal.

Banyak sebenarnya perkara positif mengenai skuad Mikel Arteta di dalam perlawanan ini. Namun sekali lagi penyakit lama yang masih gagal diubat mengecewakan The Gunners.

Arsenal bermain dengan positif, bertenaga dan bahaya setiap kali melakukan gerakan bola.

Dan gerakan itu dilakukan dengan pantas demi mencipta ruang untuk gandingan serangan Lacazette dan Aubameyang.

Dan sekali lagi bahagian pertahanan yang rapuh membunuh karakter permainan mereka dan ia membenarkan Spurs untuk mencuri kemenangan.

Gol menarik oleh Lacazette memberikan pendahuluan yang diperlukan.

Namun pada ketika Arteta mengharapkan skuadnya memiliki kelebihan (meredakan tekanan) dalam permainan dengan gol tersebut, mereka membenarkan diri mereka dibolosi apabila pemain pertahanan mereka keliru dan bingung sesama mereka.

Baiklah. Ini mungkin adalah perlawanan derbi. Kerana itu tekanannya berbeza. Tetapi dengan corak permainan sebegini, Arsenal sekurang-kurangnya mampu mencuri 1 mata.

Apatah lagi ketika perlawanan memasuki 10 minit akhir masa sebenar. Sekali lagi bahagian pertahanan mengecewakan Arsenal.

Sepakan penjuru oleh Son itu sepatutnya adalah rutin yang boleh ditangani dengan mudah, namun sebaliknya yang berlaku.

Ia adalah kisah sama dan bukan perkara baharu. Ia penyakit lama Arsenal. Arteta sudah pasti tahu masalah ini dan bagaimana untuk mengatasinya.

 

 

Kongsi artikel ini