Gelagat Benjamin Mora Ulang Keraian Kemenangan JDT Persis Tewaskan Ulsan Hyundai

Johor Darul Ta’zim merampas kembali takhta Liga Super Malaysia setelah menewaskan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman , Paroi malam tadi hasil jaringan cantik pemain import , Fernando Forestieri pada masa tambahan hujung perlawanan.

Tiga mata penting yang diperolehi oleh skuad Benjamin Mora itu turut meleburkan rekod tanpa kalah Negeri Sembilan yang menang lima perlawanan berturut sebelum ini.

Perlawanan di antara skuad K.Devan dan Benjamin Mora menjadi pertemuan yang terhangat dengan kehadiran sejumlah penyokong Hobin Jang Hobin memenuhi kapasiti tempat duduk bagi memberikan sokongan kepada pasukan mereka.

JDT yang baru sahaja kembali daripada cabaran Liga Juara Asia 2022 (ACL) masih lagi segar dengan kejayaan menempah slot 16 pasukan terbaik Asia pasti mahu meneruskan rentak kemenangan dalam kancah liga tempatan.

Dalam perlawanan berkenaan , kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan yang seimbang. Bagaimanapun , JDT kerapkali mengatur serangan menerusi pemain sayap lincah mereka Arif Aiman ke kubu Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan tanpa penjaring terbanyak mereka , Herold Goulon menunggu masa untuk melakukan serangan balas yang diketuai oleh Zakuan Adha dan Matheus Alves.

Beberapa peluang yang diperolehi oleh kedua-dua pasukan gagal diterjemahkan oleh para pemain sendiri dan ternyata rentak perlawanan itu banyak diganggu oleh tindakan pemain yang seperti sengaja melewatkan masa permainan sehingga mencetuskan perang mulut diantara Benjamin Mora dan K. Devan yang memaksa pembantu pengadil campur tangan menenangkan mereka berdua.

Sehinggalah memasuki masa tambahan yang diberikan oleh pengadil 10 minit , JDT terus meningkatkan tempo serangan , tekanan demi tekanan sehingga Forestieri meledakkan gol cantik dari luar kawasan kotak penalti penjaga gol tertewas.

Jaringan itu menggamitkan sorakan hingar bingar dengan Benjamin Mora berlari ke tempat penyokong JDT untuk meraikan kemenangan mutlak JDT.

Insiden itu sudah pasti mengingatkan kembali bagaimana Benjamin Mora melakukan perkara yang sama ketika JDT berjaya menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 dalam perlawanan kumpulan E saingan ACL 2022 yang mencipta sejarah bagi sebuah kelab kecil dari Malaysia layak ke pusingan kalah mati 16 pasukan di pentas prestij Asia itu pada 30 April yang lalu.

JDT kini mendahului Negeri Sembilan yang terpaksa berpuas hati di tangga kedua dengan 15 mata dan masih tertinggal tiga perlawanan lagi berbanding dengan pasukan yang lain.

 

Kongsi artikel ini