Gamel Sudah Pasrah, ‘Welcome Back’ Dollah Salleh?

Ketua Jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel pasrah sekiranya khidmat beliau sebagai pengendali Sri Pahang FC tidak diperlukan lagi selepas kekalahan terbaru kepada Terengganu FC pada malam tadi.

Kekalahan 2-1 kepada Terengganu FC di saingan Liga Super Malaysia (MSL) pada malam tadi adalah kekalahan ketiga berturut-turut skuad Tok Gajah pada musim ini.

Secara keseluruhan pasukan itu sudah beraksi 11 perlawanan pada musim ini. Dan setakat ini, skuad kendalian jurulatih dari Perancis itu hanya merekodkan 2 kemenangan, 2 seri dan tewas baki 7 perlawanan lain.

Prestasi kurang memberangsangkan skuad Tok Gajah pada musim ini menyebabkan pasukan itu kini berada di zon penyingkiran, menduduki tangga ke-11 MSL dengan kutipan keseluruhan 8 mata.

Gamel tiada jawapan

Selepas kekalahan terbaru kepada Terengganu FC, bekas jurulatih skuad kebangsaan Fiji itu nyata tidak mempunyai alasan kukuh dan penjelasan.

“Tekanan adalah perkara biasa buat mana-mana jurulatih. Tetapi saya masih sayangkan pasukan ini. Tetapi jika ketiadaan saya dalam pasukan adalah jalan terbaik mampu difikirkan oleh pihak pengurusan, saya sedia meninggalkan pasukan,” ujar beliau di dalam sidang media kepada wartawan selepas perlawanan pada malam tadi.

“Buat peminat setia pasukan, saya memahami kekecewaan anda yang tidak sanggup melihat prestasi semasa pasukan.

“Tetapi percayalah pihak pengurusan kelab sedang berusaha memberikan yang terbaik, sebab tiada kelab mahukan pasukan mereka merosot.

“Buat pemain, masih belum terlambat untuk bangkit kerana perjalanan liga masih panjang.

“Anda boleh melakukan yang terbaik sekiranya berusaha dengan lebih gigih lagi,” tambahnya lagi.

Sebelum ini melalui laporan oleh Harian Metro, jurulatih berusia 49 tahun itu berkata dirinya bersedia dengan sebarang kemungkinan, termasuklah direhatkan daripada mengendalikan pasukan sekiranya nasib pasukan itu pada musim ini tidak lagi berubah.

Welcome back Dollah Salleh?

Apakah tindakan seterusnya oleh pihak pengurusan untuk menyelamatkan Sri Pahang FC pada musim ini.

Untuk rekod, kali terakhir pasukan Pahang jatuh ke divisyen kedua bola sepak negara adalah pada musim 2012, selepas menamatkan saingan musim 2011 di kedudukan  ke-13 daripada 14 pasukan yang mengambil bahagian.

Salah satu kemungkinan adalah untuk memberikan peranan Ketua Jurulatih Sri Pahang FC kepada Dollah Salleh yang merupakan pengurus pasukan itu pada musim ini.

Dollah Salleh bukanlah watak asing dalam membimbing pasukan Pahang. Sebelum ini beliau pernah mengendalikan pasukan itu pada musim 2010 sehingga 2013, dan sekali lagi pada musim 2017 sehingga musim lalu.

Musim lalu menyaksikan Dollah Salleh mengambil alih pasukan Tok Gajah daripada Thomas Dooley selepas prestasi hambar pasukan itu pada awal musim.

Sepanjang membimbing skuad Tok Gajah, Dollah Salleh pernah membantu pasukan itu menjuarai Piala Malaysia pada 2013, dan juara Piala FA pada musim 2018.

Pencapaian terbaik di saingan MSL pula ialah ketika membantu Pahang muncul naib juara liga pada musim 2012.

Adakah skrip musim lalu akan berulang?

Kongsi artikel ini