Pesekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) mempunyai sebab mengapa mereka harus marah apabila secara tiba-tiba India tidak berada di dalam senarai jemputan untuk kejohanan Pestabola Merdeka 2023.
Mujurlah perkara itu diselesaikan dengan pantas apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin. memberi jaminan kepada Setiausaha Agung AIFF, Shaji Prabhakar yang terus menghubunginya, bahawa India akan menjadi salah sebuah negara yang akan dijemput untuk kejohanan tersebut.
Punca sebenar kemarahan India
Antara punca kemarahan India khususnya AIFF adalah kerana mereka mendakwa sebelum ini telah melakukan pertemuan dengan pihak FAM mengenai kejohanan tersebut beberapa bulan yang lalu.
Dalam pertemuan tersebut, AIFF mendakwa mereka bersetuju untuk menyertai kejohanan Pestabola Merdeka sekiranya ianya diadakan kembali.
The #MerdekaCup had created so many opportunities for #IndianFootbal in the past.
My request to restart this tournament & have INDIA as one of the invitee participants was warmly greeted by FA Malaysia President Dato Haji Hamidin bin Haji Mohd. Amin.
Thank you@FAM_Malaysia pic.twitter.com/Mo0M1ey0V8
— Kalyan Chaubey (@kalyanchaubey) October 22, 2022
Malah salah sebuah portal online India, Sportstar turut berkongsi sebuah ciapan daripada Presiden AIFF, Kalyan Chaubey yang membuktikan pertemuan dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin sememangnya berlaku.
Malah menurut ciapan yang dilakukan pada 22 Oktober 2022 itu, idea untuk menganjurkan kembali Pestabola Merdeka datangnya daripada Presiden AIFF sendiri kepada Datuk Hamidin.
Dasar anti India
Setiausaha Agung AIFF turut mengecam pihak yang sengaja menafikan penyertaan India di kejohanan Pestabola Merdeka 2023 ini.
Malah beliau turut melabel mereka yang berbuat demikian sebagai golongan ‘anti India’ atau ‘anti bola sepak India’ dan berniat jahat.
“Di dalam dunia yang dipenuhi oleh berita palsu ini, ramai orang adalah anti-India atau anti-bola sepak India dan sengaja menyebarkan khabar begini.
“Maka ia harus disemak dan itulah yang kami lakukan,” ujar Shaji Prabhakar.
“Berita baiknya jemputan itu adalah dari Malaysia, dan kita mempunyai hubungan baik dan saling menghormati antara satu sama lain. Dan kini disahkan India akan mengambil bahagian di Pestabola Merdekan 2023.”
Sejarah India di Pestabola Merdeka
Pestabola Merdeka adalah kejohanan bola sepak tertua di Asia dan dianjurkan sehingga 2013 sebelum ianya dihentikan.
Mulai dianjurkan pada 1957, India dianggap sebagai salah sebuah pasukan yang memberikan sumbangan dengan penglibatan mereka di peringkat awal kejohanan, dan pernah mucul naib juara pada edisi 1958 dan 1964.
🇮🇳🤝 🇲🇾According to the general secretary of the All India Football Federation (AIFF), Shaji Prabhakaran, he had a discussion with the Football Association of Malaysia (FAM) about India's participation in the 2023 Merdeka Cup in Malaysia.#FAM #AIFF pic.twitter.com/uIuTUiw7ta
— ASEAN FOOTBALL (@theaseanball) January 21, 2023
“Kejohanan Pestabola Merdeka sebenarnya mempunyai perkaitan secara emosi dengan India. Apabila India menyertai kejohanan ini pada 1950an, 1960an dan 1970an, kejohanan ini berjaya memartabatkan bola sepak India secara keseluruhannya,” jelas Shaji lagi.
“Jadi apabila kejohanan ini mahu dihidupkan kembali, kami juga mahu berada di sama dan terus memberikan pendedahan kompetitif kepada pemain kami.
“Dengan cara ini kami ia juga boleh membantu kami mengembangkan bola sepak India.
“Kami harus mengembalikan kegemilangan bola sepak India. Sudah tentu kami akan melakukan apa yang perlu di dalam situasi kami, iaitu dengan menjalinkan kerjasama dengan semua pihak, dan kami telah melakukannya kali ini,” tambah beliau.
Kesungguhan India perkara positif untuk Pestabola Merdeka
Apa yang berlaku di antara AIFF dan FAM berkaitan jemputan untuk kejohanan Pestabola Merdeka ini berkemungkinan berlaku kerana kekeliruan.
Namun demikian, kesungguhan AIFF untuk melihat India menyertai Pestabola Merdeka ini harus dilihat secara positif.
Suatu ketika dulu,menang Pestabola Merdeka dah serupa menang Piala Dunia bagi Korea Selatan.Sekarang pandang pun tak. pic.twitter.com/vcYgbfGMS3
— Nizam 🇲🇾 (@NizamArchibald) November 17, 2013
Selain India, Pestabola Merdeka turut pernah menyaksikan pasukan-pasukan seperti Jepun, Korea Selatan, Maghribi, Senegal, Ghana mengambil bahagian.
Biarlah penganjurannya kali ini menjadi pemula untuk mengembalikan kegemilangan Pestabola Merdeka sepertimana yang pernah dinikmati peminat bola sepak generasi terdahulu.
Jika Jepun, Korea Selatan, Maghribi, Senegal, dan Ghana suatu ketika dahulu – pernah bergelar pasukan jemputan di Pestabola Merdeka – kini telah melakar sejarah masing-masing di Piala Dunia, biarlah kejohanan ini dan penganjuran seterusnya turut dimanfaatkan sepenuhnya oleh skuad kebangsaan kita sendiri.