Gaji Nguyen Quang Hai Di Ligue 2 Lebih Kecil Daripada Pemain Liga Malaysia

Pemain sensasi Vietnam, Nguyen Quang Hai dilaporkan sudah melengkapkan perpindahan ke kelab Ligue 2 Perancis, Pau FC semalam.

Ini menjadikan Quang Hai sebagai pemain pertama daripada Vietnam beraksi di negara itu.

Digelar sebagai ‘Messi Vietnam’, perpindahan Quang Hai ke Pau FC turut mendapat liputan oleh media utama Perancis seperti L’Equipe.

Malah Quang Hai dilaporkan telah menolak tawaran daripada kelab La Liga untuk beraksi bersama Pau FC.

Pau FC mungkin dianggap kelab kurang ternama berbanding beberapa kelab eropah yang lain.

Namun bagi perancang tengah Vietnam itu, pilihan untuk menyertai Pau FC adalah satu perjudian untuk membenarkannya memperolehi lebih banyak minit permainan – sekiranya beraksi di liga bawahan, sebelum berusaha untuk mencuri tumpuan pencari bakat kelab-kelab utama eropah selepas itu.

Berapa gaji yang bakal diterima Quang Hai?

Menurut statistik gaji oleh Capology.com yang dikongsi oleh media Vietnam, Thien Pong, Pau FC membelanjakan Є2.9 juta (bersamaan RM13.3 juta) untuk membayar gaji pemain untuk keseluruhan musim 2021/22 Ligue 2 yang lalu.

Secara purata setiap pemain Pau FC menerima Є108,000 setahun atau bersamaan dengan RM496,221 semusim.

Jika dibahagikan lagi, ini bermakna setiap pemain akan menerima hanya Є2,000 (RM9,189) seminggu.

Secara purata, pemain Pau FC hanya menerima sekitar RM36,756 sebulan. Mengambil kira Quang Hai beraksi di Eropah, jumlah bayaran tersebut sebenarnya tidak lumayan.

Pengorbanan Quang Hai

Bercakap kepada media sebelum terbang ke Perancis, pemain itu menekankan wang dan gaji bukan motivasi utama pemain itu untuk berkelana ke eropah.

Lebih daripada itu Quang Hai menekankan beliau mahu mendapatkan pengalaman sebanyak mungkin dan cuba menembusi pasaran pemain di benua itu.

Jika diukur, anggaran gaji yang bakal diterima oleh pemain Vietnam ini sebenarnya jauh lebih rendah berbanding sebahagian pemain yang beraksi di Liga Malaysia.

Melalui laporan kaji selidik oleh Semuanya Bola pada 2020, pemain tempatan di Liga Malaysia menerima sekitar RM10,000 sehingga RM80,000 sebulan.

Pemain yang kerap dipilih mewakili skuad Harimau Malaya akan dibayar nilai gaji paling tinggi di kalangan pemain tempatan. Baddrol Bakhtiar seperti contoh, dilaporkan menikmati gaji RM77,000 pada musim 2018.

Pada tahun 2015, NST melaporkan Safiq Rahim meraih RM70,000 daripada JDT.

Tetapi pasukan negeri lain juga berani membayar gaji mahal kepada pemain seperti Terengganu, Kedah, Perak dan Selangor. Kebiasaannya pasukan ini mendapat peruntukan lebih RM10 juta setahun daripada kerajaan negeri.

Pemain bertaraf skuaf kebangsaan biasanya menerima RM50,000 sebulan ke atas.

Pemain kesebelasan utama tetapi bukan pemain tetap skuad kebangsaan menerima antara RM20,000-50,000 sebulan.

Kongsi artikel ini