“From Doubters To Believers”, Klopp Pernah Ramal Liverpool Bakal Juarai EPL 2019/20

Liverpool kini sah juara Liga Perdana Inggeris musim 2019/20. Ia adalah kejuaraan pertama kelab Merseyside itu bergelar juara sejak 30 tahun yang lalu.

Untuk itu, penyokong The Reds di seluruh dunia harus berterima kasih kepada pengendali dari Jerman, Jurgen Klopp untuk impian yang akhirnya tercapai.

Adakah kejuaraan ini satu kebetulan? Sukar untuk membuat tanggapan sedemikian mengambil kira kualiti yang dimiliki oleh skuad Liverpool pada hari ini.

Perbezaan mata yang jauh dan kejuaraan disahkan ketika saingan masih lagi berbaki tujuh perlawanan juga bermakna pasukan ini benar-benar dibina untuk kecemerlangan

Percaya atau tidak, Klopp sememangnya pernah meramalkan Liverpool mampu bergelar juara Liga Perdana Inggeris pada musim ini.

Permulaan segalanya

Permulaan segalanya adalah apabila Klopp dilantik sebagai pengganti Brendan Rodgers pada Oktober 2015.

Perlawanan pertama Liverpool kendalian Klopp berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan di White Hart Lane.

Ramai yang skeptikal akan kemampuan Klopp dan kemampuan Liverpool untuk kembali gagah dalam bola sepak Inggeris – walaupun Klopp mempunyai rekod hebat bersama Borussia Dortmund di Bundesliga sebelum itu.

Apatah lagi ia bukannya impak segera seperti yang ramai harapkan dalam perlawanan di White Hart Lane.

The Normal One

Sebelum itu, Klopp terpaksa memperkenalkan dirinya sebagau “The Normal One”.

Tidak ada kemegahan atau nada keangkuhan seperti ditampilkan oleh Jose Mourinho pada sesi pengenalan kepada media sebagai pengendali Chelsea pada 2003.

Reputasi Klopp bersama Dortmund sebelum itu memberikan hanya sedikit perasaan optimis kepada sebahagian pihak.

Namun Klopp sedar akan satu perkara. Liverpool mempunyai perjalanan yang jauh untuk memahatkan kembali kelab tersebut sebagai sebuah kelab dominan di England dan juga Eropah.

Beliau sedar ada banyak kerja perlu dilakukan, dan ianya jelas ia bukan pekerjaan satu malam untuk membangunkan kembali kelab seperti Liverpool.

Pada musim pertama tersebut, Liverpool menamatkan saingan EPL di kedudukan ke-8.

Dua musim berikutnya di kedudukan ke-4, dan pada musim lalu, hanya dibezakan satu mata dari sang juara, Manchester City.

Di dalam tempoh 4 tahun itu juga, dua perlawanan akhir Champions League – dan satu kejuaraan eropah – turut dikecapi.

Sepanjang tempoh itu, tidak pernah ada keraguan lagi bahawa Klopp adalah individu tepat persis ‘Messiah’ yang dinanti-nantikan selama ini oleh Liverpool.

Ramalan Klopp

Kejayaan di peringkay Eropah tiba lebih awal di Anfield. Tetapi ia bukannya perkara yang menghairankan. Mereka telah melakukannya sebanyak lima kali sebelum itu.

Namun demikian kejuaraan ke-6 itu menjadi kejayaan yang bermakna buat skuad kendalian Klopp kerana ia turut membantu mereka membina momentum yang dikehendaki di saingan domestik.

Ia juga adalah indikasi kepada apa yang akan Liverpool lalui pada musim-musim berikutnya.

Dan akhirnya mahkota yang didambakan selama 30 tahun kembali ke Anfield.

Dan perkara itu sebenarnya pernah diramal oleh Klopp 4 tahun lalu, yang membawa kita semua kepada apa yang dilalui oleh Liverpool pada musim ini.

Ketika baru dilantik sebagai pengendali Liverpool, ini adalah petikan kata-kata pengendali dari Jerman itu dalam sidang media pertamanya:

“Malam tadi kami telah menandatangani kontrak, dan saya bangun dari lena pada pagi ini sebagai pengurus Liverpool FC,” ujar Klopp kepada wartawan.

“Berikan kami masa untuk bekerja. Apabila saya duduk di sini di dalam tempoh empat tahun, saya berpendapat [yakin] akan ada satu kejuaraan [EPL] pada masa itu.

“Jika tidak [muncul juara], mungkin saya akan memenanginya di Switzerland!”

Klopp turut menyifatkan 25 tahun [pada ketika itu] kali terakhir bergelar juara adalah tempoh yang lama.

Namun bagi beliau Liverpool tidak seharusnya terus menggendong atau mengenang sejarah itu sampai bila-bila.

“[Apabila mula berlatih] saya mahu melihat langkah pertama yang akan diambil pada minggu hadapan, dan enggan membandingkan dengan masa silam.

“Ini adalah kelab yang hebat penuh dengan potensi. Segalanya ada di sini. Kerana itu, ayuh kita mulakan dengan cara baru.”

Rumusan

Kebetulan atau tidak, ramalan Klopp nampaknya telah menjadi kenyataan.

Penyokong atau lawan, tidak dapat menafikan ini adalah skuad terhebat Liverpool yang pernah bola sepak saksikan dalam tempoh 30 tahun ini

The Reds telah menawan eropah dan dunia. Kini mereka telah berjaya menawan badi terbesar mereka, iaitu kejuaraan Liga Inggeris.

“From Doubters To Believers”, Klopp Pernah Ramal Liverpool Bakal Juarai EPL 2019/20. Cabaran seterusnya adalah untuk membina dinasti bola sepak baharu bola sepak Inggeris, berkiblatkan Anfield.

Tahniah Liverpool. YNWA!!!

 

Kongsi artikel ini