Free-Role Safawi Antara 5 Perkara Daripada Kejayaan Malaysia Tewaskan Turkmenistan

Bukanlah kemenangan yang sempurna, tetapi ada banyak perkara positif yang boleh kita kupas melalui kemenangan 3-1 skuad negara ke atas Turkmenistan sebentar tadi.

Seperti semua sedia maklum, skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon memburu tiga mata penting melalui perlawanan pertama ini, dan pasukan negara dilihat memberi tekanan dari awal permainan.

Berikut adalah antara lima perkara positif dan negatif yang boleh dikupas melalui perlawanan ini.

Arif Aiman duri dalam daging 

Banyak kali kualiti Arif Aiman diperkatakan oleh pengulas dan pemerhati bola sepak sebelum ini. Pada malam ini, beliau sekali lagi menampilkan aksi terpuji memberi masalah kepada bahagian pertahanan lawan.

Gerakan bersama Safawi Rasid daripada sebelah kanan berjaya menghasilkan gol pertama pasukan negara.

Ketenangan Arif melepasi kawasan sempit di sebelah kanan serangan adalah begitu baik sekali.

Jika ada perkara yang boleh diperbaiki, ia adalah final-pass yang dihasilkan pemain ini untuk menemui rakan sepasukan yang mampu melakukan penyudah berkesan.

Pressing berterusan

Untuk 20 minit pertama perlawanan pasukan negara terutama di barisan hadapan dilihat rajin melakukan pressing berteusan.

Hasilnya, pasukan negara berjaya menjaringkan gol kedua pasukan yang dijaringkan oleh Faisal Halim, selepas pemain pertahanan Turmenistan gagal mengawal kemas bola setelah diasak oleh Arif Aiman.

Untuk barisan pemain terus melakukan pressing secara berterusan sepanjang 90 minit perlawanan, ia mungkin mustahil dan memenatkan.

Kerana itu Kim Pan-gon harus bijak untuk mengarahkan bagaimana pressing boleh dilakukan secara efektif.

Free role Safawi Rasid

Peranan bebas yang diberikan Safawi Rasid di dalam perlawanan ini dianggap sebagai satu dimensi baharu kepada pamain ini sendiri dan pasukan secara keseluruhannya.

Secara keseluruhan, Safawi dilihat beraksi dengan baik dan selesa di posisi baharunya ini.

Safawi dilihat aktif di half-space dan di belakang Darren Lok yang beraksi sebagai penyerang utama. Gol pertama perlawanan oleh Safawi juga bukannya satu kebetulan.

Ia juga dianggap penyelesaian terbaik untuk Kim Pan-gon menurunkan Arif Aiman dan Faisal Halim di dalam kesebalasan utama.

Terikut corak permainan lawan

Selepas dibolosi dua gol awal, Turmenistan menyedari mereka tidak akan mampu bersaing dengan pasukan negara kerana kepantasan yang ditampilkan oleh barisan pemain skuad Harimau Malaya dalam perlawanan ini.

Kerana itu, Turkmenistan cuba memperlahankan permainan dan lebih selesa bersaing secara fizikal.

Untuk seketika Malaysia seperti termakan umpan yang diletakkan lawan. Mujurlah kelebihan dua gol berjaya dikembalikan oleh Corbin Ong pada babak akhir separuh masa pertama perlawanan.

Pasukan negara sepatutnya terus yakin menampilkan corak permaianan tersendiri dan tidak terikut-ikut dengan rentak lawan.

Perubahan taktikal hampir makan diri

Di dalam bola sepak adakalanya the best defence is to attack. Walaupun beraksi dengan baik pada babak pertama perlawanan, anehnya Kim Pan-gon menukar taktikal pasukan untuk membentuk lima pemain pertahanan.

Sistem 5-4-2 yang dihasilkan selepas sejam perlawanan berlangsung kelihatan kurang sesuai.

Pasukan negara cenderung untuk bertahan di garisan terlalu rendah dan situasi ini sekaligus mengundang Turkmenistan untuk melakukan serangan.

Mujurlah barisan pemain negara tidak dihukum sebelum keyakinan pemain pulih dan perlawanan kembali menjadi seimbang.

Kesimpulan

Apa-apa pun tahniah untuk kemenangan pertama dan tiga mata penting yang dimenangi pada malam ini. Seterusnya Malaysia akan berhadapan lawan yang lebih sukar, iaitu Bahrain.

Semoga barisan pemain mampu memulihkan kecergasan dan beraksi lebih mantap untuk baki perlawanan seterusnya. Ayuh Harimau Malaya.

Kongsi artikel ini