Format Piala Asia 42 Tahun Lalu Dan Bagaimana Malaysia Melayakkan Diri Ke Kuwait

Malaysia sekali lagi di ambang untuk layak ke Piala Asia pada malam ini. Kali terakhir Malaysia beraksi di pertandingan tersebut adalah pada 2007, tetapi pada ketika itu pasukan negara mendapat slot ke pertandingan tersebut selaku tuan rumah bersama dengan Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Kali terakhir Malaysia melayakkan diri ke Piala Asia secara merit adalah 42 tahun lalu, di edisi ke-7 pertandingan tersebut ketika Kuwait menjadi tuan rumah.

Pertama kali secara merit sejak 1980

Pada ketika itu hanya 10 pasukan yang bertanding sesama sendiri di pusingan akhir kejohanan, selepas melalui pusingan kelayakan, berbanding 24 pasukan pada hari ini.

Pada ketika itu pusingan kelayakan hanya mengandungi 14 pasukan yang bertanding sesama sendiri untuk merebut lapan slot di pusingan akhir.

Dan dua lagi pasukan iaitu, juara bertahan dan tuan rumah akan layak secara automatik.

Pusingan kelayakan pada ketika itu agak unik. Secara asasnya, ia mengandungi empat kumpulan (Kumpulan 1-Kumpulan 4) di mana juara dan naib juara akan layak secara automatik.

Kumpulan 3 pula dipecahkan kepada dua lagi kumpulan iaitu 3A dan 3B di mana dua pasukan teratas akan bersaing di separuh akhir. Dua pasukan terbaik, juara dan naib juara akan layak ke pusingan akhir.

Malaysia pada ketika itu berada di dalam Kumpulan 3B bersama-sama Korea Utara dan Indonesia. Menang 4-1 ke atas Indonesia pada perlawanan pertama, pasukan negara kemudianya seri 1-1 dengan Korea Utara untuk menjadi juara Kumpulan 3B.

Pusingan kalah mati

Di pusingan kalah mati atau separuh akhir Kumpulan 3, Malaysia perlu berhadapan halangan Hong Kong.

Perlawanan menentang jajahan British itu pada ketika itu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, tetapi Malaysia melayakkan diri ke perlawanan akhir selepas menang 5-4 melalui penentuan sepakan penalti.

Di perlawanan akhir, Malaysia sekali lagi bertemu dengan Korea Utara namun tewas 1-0 kepada lawan merkea itu.

Kekalahan tersebut tidak menjejaskan peluang Malaysia ke Piala Asia pada ketika itu. Kejayaan menewaskan Hong Kong sudah pun memberikan slot kepada pasukan negara untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia di Kuwait.

Kongsi artikel ini