Formasi Baharu Kim Pan-gon Antara 3 Perkara Paling Dinantikan Daripada Perlawanan Malaysia vs Filipina

Hari ini lembaran baharu pasukan kebangsaan di bawah kendalian Kim Pan-gon akan bermula apabila Malaysia dijadualkan bertemu dengan Filipina untuk membuka tirai kejohanan tiga penjuru yang turut melibatkan tuan rumah, Singapura.

Sejak diumumkan sebagai ketua jurulatih pada penghujung Januari dan diperkenalkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada media dan penyokong bola sepak tempatan pada Februari, semuanya berjalan dengan positif buat pengendali dari Korea Selatan itu.

Apabila menerima jawatan ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon sedar akan cabaran yang menantinya, terutama harapan peminat bola sepak tempatan.

Setiap tutur kepada media disusun dengan penuh berhati-hati. Dans setiap tindakan turut diberikan penjelasan sewajarnya agar tidak wujud persepsi yang memberi tekanan tidak diperlukan kemudian hari.

Tetapi itu adalah perkara di luar padang. bagaimana pula dengan perkara di dalam padang. Ini menjadikan dua perlawanan antarabangsa pertama Kim Pan-gon bersama pasukan Harimau Malaya menjadi perlawanan yang amat dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak tempatan.

Berikut adalah antara perkara yang paling dinanti-nantikan daripada dua perlawanan tersebut:

Perubahan formasi

Antara perkara pertama yang paling dinanti-nantikan oleh ramai ialah formasi baharu pasukan negara. Di bawah kendalian Tan Cheng Hoe sebelum ini, pasukan negara begitu rigid dengan sistem 4-3-3. Walaupun pernah dikritik, bekas pengendali Kedah itu tetap teguh dengan formasi tersebut.

Berdasarkan rekod bersama Hong Kong sebelum ini, Pan-gon pula dipercayai lebih fleksibel dengan pendekatan dan formasi yang dipakainya.

Turut pernah menggunakan formasi 4-3-3, Pan-gon turut pernah mengandalkan sistem 3-5-2/5-3-2 bergantung kepada keperluan dan lawan yang dihadapi.

Bek sayap atau penyerang sayap

Bergantung kepada formasi, bek sayap dan penyerang sayap memiliki peranan yang berbeza di dalam bola sepak.

Era Tan Cheng Hoe menyaksikan corak permainan menyerang 4-3-3 menjadikan penyerang sayap sebagai ancaman utama pasukan kepada pihak lawan.

Kerana itu pemain-pemain seperti Safawi Rasid, Akyar Rashid, dan Mohamadou Sumareh menyerlah pada ketika pemain-pemain ini berada di tahap terbaik.

Sekiranya menggunakan sistem bek bertiga, Pan-gon sudah tentu akan menukar pendekatan ini yang mementingkan pemain bek sayap.

Corbin Ong dan Matthew Davies adalah dua pemain semula jadi untuk peranan ini selepas khidmat Syahmi Safari terpaksa dilupakan. Bagaimana pula dengan pemain lain seperti Arif Aiman, Sumareh dan Safawi? Bolehkah mereka mengadaptasi kepada sistem baharu ini sekiranya Pan-gon memutuskan menggunakan sistem 3-5-3/5-3-2?

Pemain sayap atau penyerang sayap bertukar menjadi bek sayap bukanlah perkara baharu di dalam bola sepak moden. Sama ada ianya akan diadaptasi di dalam pasukan negara oleh Kim Pan-gon, ia pasti menarik untuk kita lihat.

Gandingan duo penyerang

Tiada lagi nama Guilgerme de Paula yang perlu dirisaukan. Sekurang-kurangnya tiada lagi meme tidak diperlukan setiap kali pasukan negara gagal. Pertanyaan seterusnya adalah siapakah pemain yang akan mengepalai jentera serangan pasukan selepas ini?

Berdasarkan senarai 25 pemain yang dibawa ke Singapura, pasukan ini jelas tidak ketandusan pemain yang mampu menghasilkan jaringan.

Β 

Namun tidak seorang pun daripada mereka adalah pemain No.9 semulajadi. Daripada senarai 25 pemain tersebut , Pan-gon hanya menyenaraikan Luqman Hakim dan Syafiq Ahmad sebagai penyerang utama. Persoalannya adakah ini bermakna Pan-gon merancang untuk mencipta gandingan Luqman-Syafiq di bahagian serangan?

Menggandingkan kedua-dua pemain di barisan hadapan – Syafiq di belakang Luqman – dilihat satu kemungkinan dan memiliki potensi.

Penutup

Apa-apa pun kita nantikan sahaja perlawanan yang disiarkan secara langsung pada malam ini di Astro Arena.

Anda tidak sabar, kami pun tidak sabar.

Kongsi artikel ini