FIFA Ranking: Malaysia Terus Lonjak Kedudukan Selepas Kemenangan Ke Atas Bangladesh

Kemenangan 4-1 Malaysia ke atas Bangladesh di perlawanan terakhir saingan Kumpulan E pusingan kelayakan Piala Asia 2023 terus melonjakkan pasukan itu di ranking FIFA.

Skuad Harimau Malaya mengesahkan slot ke Piala Asia 2023 secara merit selepas kemenangan tersebut – kali pertama sejak kali terakhir melakukannya pada 1980.

Sebelum bermulanya pusingan kelayakan ini, skuad kendalian Kim Pan-gon berada di kedudukan ke-154 dunia.

Dua kemenangan yang dihasilkan oleh pasukan negara bermula dengan kejayaan menewaskan Turkemistan dengan jaringan 3-1 pada perlawanan pertama saingan, dan kejayaan menewaskan Bangladesh bermakna pasukan negara berjaya mengumpul sebanyak 15.46 mata keseluruhan sepanjang kempen kelayakan Piala Asia ini.

Tambahan mata tersebut bermakna pasukan negara berjaya melonjak diri ke kedudukan ke-148 dunia di dalam senarai terkini ranking FIFA.

Kedudukan terkini itu adalah yang terbaik pernah dicapai oleh pasukan negara sejak 2011.

Dalam perlawanan pada malam tadi, Malaysia mendahului perlawanan pada minit ke-16 perlawanan melalui sepakan penalti Safawi Rasid selepas pemain negara, Matthew Davies dikasari oleh pemain pertahanan lawan di dalam kotak penalti.

Bangladesh bagaimana pun berjaya menyamakan kedudukan melalui tandukan Mohamad Ibrahim pada minit ke-31 perlawanan hasil gerakan set-pieces menarik yang berpunca daripada lontaran ke dalam jarak jauh.

Sedar kemenangan akan memastikan kelayakan secara automatik ke Piala Asia, Malaysia terus mengasak dan mengembalikan kelebihan melalui rembatan Dion Cools pada minit ke-38 perlawanan untuk mendahului perlawanan pada babak pertama.

Malaysia tidak menunggu lama untuk terus merobek gawang Bangladesh pada babak kedua perlawanan, apabila terus melebarkan kedudukan melalui Syafiq Ahmad, hanya dua minit selepas babak kedua bersambung.

Kem negara ibarat berpesta dan menambah satu lagi gol untuk memadam terus cabaran Bangladesh apabila Darren Lok mudah menolak masuk gol keempat pasukan Malaysia pada minit ke-73 untuk melengkapkan kemenangan.

Kongsi artikel ini