FIFA Jelaskan Konsep ‘Lengkungan Bola’ Dalam Kontroversi VAR Babitkan Gol Kemenangan Jepun Ke Atas Sepanyol

Jepun mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati sebagai 16 pasukan terbaik Piala Dunia di Qatar dengan kemenangan kontroversi 2-1 ke atas Sepanyol.

Alvaro Morata meletakkan Sepanyol di hadapan selepas 11 minit perlawanan berlangsung. Jepun kemudiannya bangkit melalui jaringan Ritsu Doan dan Takehiro Tanaka.

Keputusan tersebut bukan sahaja membenarkan Jepun muncul juara kumpulan dengan kemenangan bergaya apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Sepanyol.

Ia turut membuatkan Jerman pulang awal dari Qatar walaupun menang 4-2 ke atas Costa Rica dalam satu lagi perlawanan di dalam kumpulan yang sama.

Kontroversi gol Tanaka

Berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-48 melalui jaringan Ritsu Doan, Jepun menggunakan momentum kebangkitan sebaik-baiknya apabila turut menghasilkan gol kemenangan pasukan selang tiga minit kemudian melalui jaringan Takehiro Tanaka.

Bagaimanapun gol Tanaka kini menjadi perdebatan peminat bola sepak di seluruh dunia selepas bola didakwa sudah melepasi garisan keluar sebelum hantaran lintang yang dilakukan oleh Karou Mitoma.

Tindakan VAR membenarkan jaringan tersebut membuatkan ramai keliru kerana ulang tayang jelas menunjukkan bola sudah keluar daripada garisan.

Jepun kemudiannya berjaya mempertahankan kelebihan satu gol sepanjang 40 minit perlawanan berikutnya untuk satu lagi kejutan di Piala Dunia kali ini.

Sepanyol, walaupun tewas, masih lagi mampu mara ke pusingan kalah mati apabila mengakhiri saingan peringkat kumpulan di kedudukan kedua – dengan kelebihan jaringan berbanding Jerman.

Penjelasan FIFA

Badan bola sepak dunia, FIFA kini tampil memberikan penjelasan mengara VAR membenarkan jaringan tersebut, walaupun ulang tayang siaran secara langsung di seluruh dunia menunjukkan bola tersebut sudah pun keluar, dan sepak mula seharusnya diberikan kepada Sepanyol.

Kandungan peraturan di dalam buku peraturan FIFA jelas menyatakan bola masih lagi di dalam permainan selagi ianya tidak keluar sepenuhnya – termasuk bahagian lengkungan bola – walaupun dasarnya telah melangkaui garisan keluar.

Di dalam perlawanan pada malam tadi, peraturan sama turut digunapakai oleh VAR, dan bola hantaran Mitoma dianggap hampir-hampir keluar, tetapi masih di dalam kawasan permainan.

Bekas pengadil FIFA, Peter Walton ketika bercakap di ITV menjelaskan: “Terdapat salah konsep mengenai pemahaman peraturan yang menganggap apabila keseluruhan [dasar] bola sudah terkeluar, maka bola itu sudah keluar.

“Sebenarnya tidak. kerana bentuk lengkungan bola harus diambil kira. Kita sentiasa melihat situasi sama ketika sepakan penjuru diambil apabila bola diletakkan di luar garisan, tetapi dianggap masih sah untuk diambil.

“Tetapi saya mencadangkan ialah teknologi garisan padang, kamera yang digunakan untuk tujuan VAR juga boleh mengesan sekiranya bola telah melepasi kawasan permainan sepenuhnya supaya sudut tersebut tidak dipertikaikan.

“Dalam situasi malam tadi jika kaki pemain atau anggota badan lain melindungi bola, maka VAR tidak mempunyai bukti untuk diberikan kepada pengadil.”

“Peraturan sememangnya sudah amat spesifik. Bola masih dalam permainan jika keseluruhan lengkungan belum melepasi garisan keluar – tetapi adakah kita mempunyai bukti untuk itu? Tidak, ia kabur.

Berdasarkan komen oleh Walton, jelas sekali penambahbaikan turut harus dilakukan agar perkara sama boleh dibuktikan dengan lebih tepat sesuai dengan teknologi masa kini yang ada di dalam bola sepak.

Kemenangan Jepun, malang buat Jerman

Apa-apa pun keputusan tersebut bermakna Jerman kini gagal mara dari peringkat kumpulan buat kali kedua berturut-turut apabila turut beraksi hambar di Piala Dunia 2018 yang berlangsung di Rusia.

Jepun kini akan berhadapan dengan Croatia di peringkat seterusnya dan sudah pasti mahu mengintai peluang mara ke suku akhir selepas dua keputusan besar  -menang 2-1 ke atas Jerman, dan kemenangan 2-1 ke atas Sepanyol.

Jepun belum pernah lagi mara ke suku akhir Piala Dunia sejak penampilan pertama mereka di kejohanan ini pada 1998.

Kongsi artikel ini