FAM Tunggu Pemain Buat Aduan Rasmi Kes Tunggakan Gaji

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menasihatkan mana-mana pemain Liga Malaysia (Liga-M) yang berdepan masalah tunggakan gaji dengan persatuan masing-masing supaya membuat aduan rasmi kepada badan induk itu untuk tindakan susulan.

Perkara iru dinyatakan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam yang berkata FAM tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan terhadap pasukan terlibat tanpa memperoleh aduan rasmi atau bukti kukuh daripada pemain terlebih dahulu.

Menurut Stuart terdapat banyak saluran boleh pemain lakukan untuk menghantar aduan masing-masing.

Antaranya adalah melalui e-mel untuk memudahkan pemain tetap patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

“Kita tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pemain setakat ini,” ujar Stuart kepada Bernama pada hari ini.

“Macam kes tunggakan gaji beberapa pemain sebelum ini, mereka perlu kemukakan aduan rasmi kepada FAM, dan bukan hanya meluahkan perkara berkenaan di laman sosial masing-masing,” tambah beliau lagi.

 

Sumber: BERNAMA.

Kongsi artikel ini