Melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada hari ini, satu garis panduan telah dikeluarkan untuk tujuan pemotongan gaji pemain dan pegawai pasukan bertanding.
Menurut FAM langkah tersebut harus diambil dalam usaha memberi kestabilan terhadap industri bola sepak secara keseluruhan.
Garis panduan tersebut bagaimana pun hanya akan digunapakai oleh persatuan yang masih gagal mencapai kata sepakat dengan pemain mengenai pemotongan gaji.
Manakala persatuan dan pemain yang telah mencapai kata putus sebelum ini hendaklah menghormati perjanjian melibatkan kedua-dua pihak sebelum ini.
Berikut adalah garis panduan pemotongan gaji pemain dan pegawai oleh persatuan yang dibenarkan oleh pihak FAM.
Siaran Media: FAM Umum Garis Panduan Pelarasan Gaji Pemain & Pegawai Pasukan
Baca kenyataan penuh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam di https://t.co/7UJXOOk7n0#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/KWjHGWXTkd
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) May 1, 2020
KADAR MAKSIMUM DAN TEMPOH PEMOTONGAN
a) Kadar maksimum pemotongan gaji yang dibenarkan mengikut garis panduan ini adalah sebanyak 30 peratus yang mana ia dianggap adil dan setara berdasarkan situasi kewangan pasukan atau kelab.
b) Kaedah kadar pemotongan gaji maksimum ini dibahagikan kepada empat kategori seperti berikut:
Kategori 1: RM4,999 dan ke bawah = Pemotongan 10 peratus
Kategori 2: RM5,000 – RM9,999 = Pemotongan 15 peratus
Kategori 3: RM10,000 – RM14,999 = Pemotongan 20 peratus
Kategori 4: RM15,000 dan ke atas = Pemotongan 30 peratus
c) Bagaimanapun, sebarang penambahan peratusan atau jumlah pemotongan gaji yang melebihi kadar 30 peratus itu perlu dikira sebagai penangguhan pembayaran dan ia adalah berdasarkan persetujuan bersama selepas perbincangan secara muhibah di antara pasukan atau kelab, pemain dan pegawai.
d) Berhubung tempoh pemotongan gaji, ia adalah bermula dari April 2020 sehingga gaji bulan berikutnya selepas tarikh saingan Liga Malaysia 2020 disambung semula.
e) Pemotongan gaji seperti di atas adalah bermula dari April 2020 bagi Kategori 1, 2 dan 3 manakala bagi Kategori 4, pemotongan gaji April 2020 adalah sebanyak 25 peratus sahaja dan pemotongan sebanyak 30 peratus itu hanya akan bermula gaji Mei 2020 dan seterusnya.
Tunggakan gaji
Bagaimanapun menurut kenyataan tersebut, FAM hanya membenarkan persatuan yang tidak mempunyai tunggakan gaji sehingga Mac 2020 untuk mengikuti garis panduan yang disediakan ini.
Namun demikian, pihak persatuan yang masih mempunyai tunggakan gaji dengan pemain masih lagi boleh melakukan rundingan sekiranya masih mahu mengikuti garis panduan tersebut.
Setiauasaha FAM, Stuart Ramalingam turut meminta supaya semua pihak menerima arahan ini demi memastikan kelangsungan industri bola sepak tanah air.