Pada 13 Mac lalu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM dan Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan penangguhan saingan Liga Malaysia sehingga 31 Mac 2020.
Pengumuman ini adalah selaras dengan pengumuman kerajaan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak global di negara ini.
Tempoh penangguhan tersebut kemudiannya diteruskan sehingga 14 April hadapan, dan berkemungkinan akan terus berlanjutan sehingga awal Mei – sekiranya jangkaan gelombang kedua wabak seperti jangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berlaku.
Antara soalan yang diajukan kepada kami adalah bagaimana keadaan prestasi pemain apabila kembali nanti? Sejauh manakah rehat panjang ini akan menjejaskan kecergasan pemain? Apakah faktor yang akan mempengaruh prestasi pemain?
Untuk menjawab persoalan tersebut, kami mendapatkan jawapan terus daripada bekas pengendali Kedah yang turut pernah berkhidmat selaku jurulatih di Atletico Madrid, Ramon Marcote.
Usia dan keperluan pemain
Menurut Coach Marco, antara perkara yang akan mempengaruhi prestasi pemain akibat rehat yang panjang adalah usia dan pengalaman seseorang pemain.
“Pemain yang lebih berusia akan lebih berisiko untuk mengalami kecederaan, tetapi pada masa yang sama merupakan pemain yang paling berharga di dalam pasukan.
“Malah ketika perlawanan, mereka [pemain berusia] lebih terdedah kepada kecederaan. Oleh kerana itu, mengurangkan beban latihan juga bermakna ia mengurangkan risiko kecederaan.
“Di dalam situasi sekarang, ia mungkin memberi kelebihan kepada mereka, tetapi ia tidak bermakna menghentikan terus latihan,” ujar Ramon Marcote menjelaskan kepada kami.
Dalam situasi sebegini, beliau juga percaya pemain yang lebih berusia mempunyai pengalaman yang cukup untuk mengekalkan kecergasan mereka, walaupun tanpa latihan yang kerap.
Ia berbeza dengan pemain muda. Aktiviti latihan perlu diberikan secara lebih kerap berdasarkan tahap untuk tujuan pembangunan sehingga pemain mampu beraksi di tahap tertinggi.
Ini bermakna rehat panjang sebegini boleh merencatkan seorang pemain muda dari segi pembangunan yang mereka perlukan.
Pemain yang berada di kemuncak karier pulan (berusia 25-29) memerlukan rutin latihan yang berterusan untuk mengekalkan momentum prestasi. Ini bermakna rehat yang panjang juga tidak bagus untuk pemain di usia sebegini.
Kepentingan pra musim
Selain daripada faktor usia, pengalaman, dan keperluan pemain, Coach Marco turut menekankan bagaimana pra musim yang dilalui sebelum ini memberikan impak kepada pemain dan pasukan keseluruhannya selepas liga bersambung kembali nanti.
“Kita semua tahu rehat sebegini tidak akan memberikan kesan yang sama kepada setiap pemain, terutama bagi yang benar-benar memanfaatkan latihan pra musim dan pemain yang melengkapkan hanya sebahagian,” kata Coach Marco.
“Ada pemain boleh pulih dengan panas kerana telah beraksi setiap minit sejak perlawanan pertama, dan ia pasti memberi kesan negatif kepada yang lain ketika kembali nanti kerana tiada perlawanan dan latihan yang boleh mereka gunakan sebelum itu.
“Di sinilah peranan pra musim memainkan peranan penting. Pasukan dan pemain yang melalui latihan pra musim (high load sessions) tidak akan terkesan dengan sangat ketara kerana tahap kecergasan mampu melindungi mereka seperti risiko kecederaan apabila kembali beraksi.
“Ia pasti berbeza dengan pemain yang tidak mempunyai kecergasan penuh ketika pra musim – diikuti tempoh rehat panjang yang tidak membantu – akan lebih terdedah kepada kecederaan. Di sinilah perbezaan dan impak latihan pra musim yang lalu.
Rumusan
Coach Marco turut menegaskan pada ketika PKP sedang dikuatkuasakan sekarang, peranan jurulatih fizikal/kecergasan amat penting.
Mereka (jurulatih) sepatutnya mempunyai data setiap pemain. Ini untuk membantu jurulatih merangka pelan latihan individu berdasarkan keperluan pemain berlainan.
Pemain dan jurulatih turut perlu kerap berkomunikasi sama ada secara virtual atau video untuk mengawal selia setiap disiplin latihan yang diarahkan.
Bagi pemain yang benar-benar patuh kepada etika profesionalisme, ianya tiada isu untuk mengikuti latihan yang disediakan oleh jurulatih.