Faktor Kewangan Punca Liverpool Tak Jadi Pancing Timo Werner

Berbulan lamanya nama Timo Werner dikaitkan bakal ke Anfield – dan Liverpool juga dikatakan telah mengikuti perkembangan pemain ini selama bertahun lamanya.

Penyerang RB Leipzig ini melalui musim 2019/20 dengan menakjubkan, menjaringkan 25 gol dari 29 perlawanan Bundesliga.

Dan apabila klausa pemain ini jatuh kepada £50 juta pada musim panas ini, ia kelihatan hampir pasti juara menanti Liga Perdana Inggeris itu akan melakukan bidaan untuk mengaktifkan klausa tersebut.

Apatah lagi Liverpool dikatakan sebagai sebuah kelab yang pakar untuk mendapatkan pemain yang mereka mahukan di pasaran pemain selama ini.

Namun demikian, Werner kini dilaporkan sedang menuju ke Stamford Bridge untuk menyertai Chelsea.

Sejak dari semalam, laporan dari UK mengesahkan Werner bersetuju untuk menyertai Chelsea yang bersetuju membayar klausa yang termaktub di dalam kontrak Werner.

Mengapa Liverpool tidak lakukan bidaan?

Satu perkara yang pasti, bukan kerana Jurgen Klopp atau Liverpool tidak berminat dengan pemain ini.

Sumber yang boleh dipercayai daripada wartawan Jan Aage Fjortoft mendedahkan ia adalah disebabkan perkara kewangan.

Ia nampak peluk sebenarnya untuk juara Eropah dan bakal juara Liga Perdana Inggeis – yang tidak membawa masuk pemain pada musim panas lalu – tidak mampu untuk membayar £50 juta untuk pemain yang mereka benar-benar mahukan.

Berita buruk tersebut kemudiannya disahkan oleh wartawan Liverpool, James Pearce yang melalui ciapannya berkata: “Chelsea semakin hampir mendapatkan Timo Werner. Beliau tidak akan menyertai #LFC.”

Kejayaan buat Lampard

Selain nilai £50 juta yang perlu dilunaskan, Chelsea dilaporkan turut harus membayar pemain berusia 24 tahun itu sebanyak £200,000 seminggu.

Ia dianggap kejayaan besar buat Frank Lampard dan Chelsea – apatah lagi selepas berjaya mengesahkan ketibaan bintang Ajax, Hakim Ziyech sebelum ini.

Werner sebelum ini sering kali meluahkan kekaguman beliau terhadap Liverpool dan Jurgen Klopp.

“Saya tahu Liverpool adalah kelab terbaik dunia pada hari ini,” ujar pemain itu pada Februari lalu.

Dan tidak seperti yang ramai sangka pada mulanya, Werner hampir pasti akan berhadapan Liverpool sebagai lawan pada musim hadapan.

 

Kongsi artikel ini