Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) mengambil tindakan tegas menghukum tiga jurulatih skuad Bawah-22 negara itu yang terlibat dengan insiden kekecohan di perlawanan akhir Sukan SEA di Kemboja bulan ini.
Tiga jurulatih tersebut dihukum gantung selama 12 bulan daripada bola sepak. Turut tidak terlepas adalah dua pemain pasukan itu, Soponwit Rakyart and Thirapak Prueangna yang digantung daripada menyertai skuad kebangsaan negara itu untuk tempoh 6 bulan.
Hukuman gantung terhadap tiga jurulatih dan dua pemain itu akan berjalan dengan serta merta.
Perlawanan akhir Sukan SEA Kemboja yang sepatutnya menjadi aksi kemuncak temasya membabitkan pertemuan Thailand dan Indonesia pada 16 Mei lalu dicemari insiden kekecohan pegawai dan jurulatih pasukan itu yang didakwa melakukan provokasi melampau terhadap skuad Indonesia.
🚨 The Thai FA have banned three staff coaches involved in the #SEAGames2023 final brawl for one year.
In addition, two players – Soponwit Rakyart and Thirapak Prueangna – are suspended from national team duty for six months.
The sanctions are effective immediately. pic.twitter.com/iyR8GOFNCa
— Thai League Central (@TL_Central) May 23, 2023
Insiden pada masa tambahan itu menyebabkan beberapa pegawai dari Thailand dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan selain dua pemain – masing-masing dari Thailand dan Indonesia turut menerima nasib yang sama.
Dalam satu kenyataan selepas perlawanan tersebut, FAT memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan insiden memalukan itu sambil berjanji tindakan tegas akan diambil dalam masa terdekat.
FAT turut berjanji tidak akan melindungi mereka yang melakukan kesalahan.
Insiden kekecohan yang tercetus di minit akhir perlawanan tersebut turut mencederakan pengurus pasukan Indonesia, Sumardji di bahagian mulut dan hidung sehingga terpaksa dipapah ke bangku pemain simpanan.
Ketika kejadian Sumardji kelihatan jatuh tersungkur saat dikerumuni puluhan pegawai dan pemain dari pasukan Thailand selepas cuba meleraikan ketegangan yang berlaku di antara kedua-dua pasukan. Peristiwa itu terjadi selepas skuad Garuda Muda berjaya mencetak gol di awal babak masa tambahan.
Walaupun sudah mengambil tindakan secara dalaman, FAT dijangka tidak akan terlepas hukuman daripada AFC akibat kekecohan yang berlaku.