Eric Bailly : Keletahnya Yang Disukai Ramai Peminat

Pertahanan tengah Manchester United ini mendapat tempat di kesebelasan  utama semasa perlawanan menentang Everton dalam suku akhir Piala Carabao EFL 2020-21 untuk bergandingan bersama Harry Maguire.

Kelab Setan Merah ini berjaya menewaskan skuad Carlo Anchelotti 2-0 untuk mara ke separuh akhir dan akan menentang Manchester City pada awal tahun baru 2021.

Gol-gol kemenangan dijaringkan oleh Edison Cavani dan Anthony Martial pada lewat masa permainan

Apa yang menarik terhadap Eric Bailly ini adalah pesona dan keletah beliau di dalam kelabnya. Beliau  boleh dianggap sebagai pemain yang sentiasa menggembirakan semua orang kerana perangainya yang gila-gila.

Lihatlah video ini semasa El Matador telah mendapatkan jaringan gol pertama untuk Red Devils yang sedang berhadapan dengan Everton , Eric Bailly mengingatkan Cavani agar tidak lupa meraikan jaringan dengan gaya ikonik aksi memanahnya.

Video itu meraih perhatian peminat. Ramai yang tertawa dengan perangainya kerana di dalam padang pun boleh membahan rakannya sendiri.

Edinson Cavani pantas memberi respon kepada Eric Bailly lantas beliau melakukan raikan jaringannya dengan gaya ikoniknya itu.



Masih segar lagi diingatan penyokong Manchester United peristiwa Eric Bailly menendang punggung King Zlatan semasa di dalam bilik persalinan dan terus melarikan diri daripadanya.

Hanya seorang pemain bolasepak yang berani mempermainkan Zlatan Ibrahimovic seorang yang ego dan angkuh sebegitu rupa iaitu Eric Bailly.

Terdapat lagi satu video menunjukkan muka Eric Bailly merasa takut dengan genggaman buku lima Ibra setelah diacukan kepada mukanya. Perasaan takut itu berubah apabila Zlatan terus mentertawakan rakan baiknya itu.

Mereka menjadi rakan baik semasa Zlatan dengan Bailly berada dalam skuad Setan Merah pada tahun 2016.

Satu lagi video gurauan kasar Eric Bailly ke atas Zlatan apabila berkata mahu membunuhnya. Tetapi penyerang veteran itu tidak mengendahkannya sambil tersenyum sahaja.

Mungkin dia telah reda dengan gurauan pertahanan yang berasal dari Ivory Coast itu.

Kini Zlatan Ibrahimovic mewakili pasukan AC Milan yang sedang menjadi pendahulu liga dalam serie A.

Penyerang berusia 39 tahun itu menjadi sumber inspirasi kepada pemain-pemain muda AC Milan untuk bangkit semula dan mahu menjadi juara Serie A untuk musim 2020/21.

Eric Bailly adalah seorang pertahanan yang bagus , namun kecederaan yang sentiasa melanda ke atas dirinya membuatkan beliau seringkali disisihkan di dalam kesebelasan utama.

Statistik kecederaan Eric Bailly menunjukkan bahawa beliau lebih banyak berehat daripada bermain di dalam perlawanan-perlawanan Manchester United yang telah pun berlangsung.

Bagaimanapun pengurus Ole Gunnar Solksjaer masih lagi memberikan kepercayaan kepada Eric Bailly untuk mengawal benteng pertahanan kelab gergasi itu.

Eric Bailly terus cekal dan melawan kecederaan yang sentiasa menjadi penghalang kepadanya untuk menjadi seorang pertahanan terbaik dunia.

Semoga tahun 2021 adalah tahun yang gemilang buat pemain yang berusia 26 tahun itu.

 

 

 

Kongsi artikel ini