Enigma Sang Raja & Mengapa King Eric Dianggap Sir Alex Lebih Power Dari Zidane

King Eric gelaran diberi kepada Eric Cantona. Beliau dilayangkan kad merah dalam perlawanan menentang Crystal Palace 25 tahun yang lalu.

Selepas itu, Cantona melayangkan satu ‘kung-fu kick’ ke arah penyokong – gambaran ikonik bola sepak sehingga ke hari ini.

King Eric gemparkan dunia bola sepak

Cantona adalah bintang bola sepak terbesar pada 1995, dan beraksi untuk kelab terbaik di Liga Perdana Inggeris, Manchester United(pada ketika itu).

Apabila insiden tersebut berlaku, maka tidak hairanlah ia menggemparkan dunia media bola sepak.

Tidak dapat dibayangkan sekiranya ia adalah era media sosial seperti yang ada pada hari ini.

Dalam sidang media pertama selepas insiden tersebut, Cantona tiba bersama peguamnya.

Selepas itu, beliau mengeluarkan kata-kata ibarat berfalsafah, tetapi penuh sarkastik:

“When the seagulls follow the trawler, it’s because they think sardines will be thrown into the sea.”

atau terjemahannya…

“Apabila burung camar mengikuti bot penangkap ikan, itu kerana mereka berfikir sardin akan dibuang ke laut.”

Selepas itu, Cantona bangun dan meninggalkan wartawan yang terpinga-pinga.

Itu selepas Cantona mengetahui dirinya terlepas hukuman penjara selama dua minggu, dan digantikan dengan servis komuniti mengajar kanak-kanak bermain bola sepak.

Sudah tentu kata-kata tersebut dinyatakan dengan amat jelas di hadapan media. Beliau tidak memerlukan sebarang ciapan, kerana Twitter belum lagi wujud pada ketika itu. Begitu juga Instagram dan Facebook.

Tetapi impak insiden tersebut terus menjadi bualan kawan dan lawan, peminat dan penyokong, atau dengan kata lain setiap komuniti bola sepak yang bernafas pada hari ini.

Man Utd hilang Cantona

Eric Cantona digantung oleh pihak FA selama 8 bulan selepas insiden sepakan ‘kung fu’ dengan penyokong itu. Pada mulanya hukuman ditetapkan sehingga ke penghujung musim.

Namun ia dilanjutkan sehingga Oktober dan juga hukuman penjara yang kemudiannya ditarik balik.

Dalam satu temuramah eksklusif bersama BBC, Cantona pernah berkata insiden tersebut adalah perkara terbaik yang pernah beraku sepanjang kariernya.

Hal ini kerana beliau dapat menendang seorang hooligan yang tak patut berada di dalam stadium menonton bola sepak – ia merupakan kepuasan untuk Cantona.

Dipandang tinggi Sir Alex Ferguson

Cantona dianggap sebagai pembelian paling prolifik sepanjang tempoh 26 tahun pengendali dari Scotland itu di Old Trafford.

Tahukan anda bahawa Sir Alex pernah melepaskan peluang untuk mendapatkan Zinedine Zidane kerana mahukan Eric Cantona?

Perkara ini didedahkan sendiri oleh bekas pengerusi Manchester United pada ketika itu, Martin Edwards.

Menurut Edwards, maklumat mengenai Zidane diserahkan kepada Sir Alex pada pertengahan 1990 an, ketika pemain tengah itu masih bersama-sama dengan Bordeaux di Ligue 1, Perancis.

Bagaimanapun pengurus berbangsa Scotland itu tidak mengendahkan laporan pencari bakat yang diserahkan kepadanya.

Zidane yang berumur 22 tahun pada ketika itu kemudian berhijrah ke Juventus, di mana beliau beraksi selama 5 tahun sebelum menyertai Real Madrid pada 2001.

“Alex memberitahu bahawa Eric Cantona turut menyebut nama Zidane kepada beliau. Namun Alex berpendapat Zidane merupakan pemain yang beraksi di posisi yang sama dengan Cantona.”

“Sebelum itu kami telah bertungkus lumus untuk ke Perancis demi memastikan Cantona menandatangani kontrak baharu bersama Manchester United.”

“Dan kunjungan itu adalah untuk memujuk Cantona untuk terus beraksi di EPL, selepas insiden di Crystal Palace. Alex berpendapat kehadiran Zidane akan memberi kesan kepada Cantona di United.”

Ferguson pujuk Cantona di Paris

Tidak ramai yang mengetahui bagaimana Alex Ferguson memujuk Cantona untuk terus kekal di Old Trafford.

Selepas insiden dan hukuman oleh The FA, Cantona pulang ke Perancis. Ia seolah-olah karier pemain penuh enigma itu di England sudah berakhir.

Ini menyebabkan Ferguson terpaksa terbang ke Paris untuk meyakinkan pemain bintangnya itu kembali ke Old Trafford.

Perpindahan ke Inter Milan sudah mulai menjadi sebutan pada ketika itu. Malah pada satu ketika Ferguson sendiri seperti sudah pasrah kehilangan Cantona sehingga campur tangan isterinya, Cathy.

Ferguson berjaya mengelak tumpuan media dan menunggang motorsikal Harley-Davidson bersama penasihat (ejen) kepada Cantona untuk pertemuan rahsia dengan pemain tersebut.

Pada petang itu, Ferguson dan semua pihak meluangkan masa di sebuah restoran yang ditutup khas untuk membenarkan perjumpaan rahsia memujuk Cantona untuk kekal di Old Trafford.

Seperti kata pujangga Inggeris yang berkata: “The rest as the saying goes, is history.”

Cantona memastikan namanya kembali terpahat sebagai legenda bola sepak sepanjang zaman di Old Trafford.

Beliau tampil kembali buat pertama kali bersama Manchester United selepas pergantungan dalam aksi menentang seteru, Liverpool pada Oktober 1995, dan menjaringkan gol.

Selepas itu, Cantona membantu United menjulang kejuaraa Piala Liga dan Piala FA pada musim yang sama.

Kongsi artikel ini