Enggan Perjudi Maruah Negara, KBS Terus Tutup SNBJ Serta Merta

Isu kualiti padang di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menarik perhatian ramai baru-baru ini mendorong Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menutup menghentikan terus fasiliti itu berkuatkuasa hari ini.

Melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh KBS sebentar tadi, keadaan padang yang teruk sepanjang pusingan kelayakan Piala Asia baru-baru ini dianggap ibarat memperjudikan maruah negara.

“Isu kualiti padang serta fasilitinya adalah isu legasi yang harus ditangani secara pantas dan tuntas,” ujar kenyataan oleh Menteri KBS, Dato Seri Faizal Azumu.

“Perancangan awal KBS adalah menutup Stadium Nasional pada penghujung Mac 2023 untuk memulakan kerja-kerja baik pulih namun keadaan semasa memerlukan tindakan yang lebih segera.

Melalui kenyataan tersebut Faizal turut bertanggapan penambahbaikan stadium tersebut adalah amat mendesak dan tidak boleh ditangguhkan.

Isu kualiti padang dan fasiliti stadium tersebut menjadi perbincangan hangat peminat sukan tanah air apabila padang dan beberapa fasiliti lain teruk digenangi air akibat hujan lebat pada Sabtu lalu.

Situasi tersebut menyebabkan petugas stadium terpaksa menggunakan peralatan seperti penyodok dan kadbod untuk menolak air keluar dari permukaan padang untuk membenarkan perlawanan diteruskan.

Untuk bola sepak, SNBJ sentiasa menjadi pilihan utama peminat bola sepak tanah air untuk menjadi arena penganjuran perlawanan bola sepak membabitkan skuad kebangsaan – selain perlawanan akhir pertandingan domestik seperti Piala Malaysia dan Piala FA.

Dan setiap kali itulah juga, isu kualiti padang akan kembali, sebelum dilupakan, kemudian dijanjikan pembaikan, kemudian dikaji, kemudian isunya sejuk, dan kemudian menjadi panas kembali – demikianlah putaran isu padang rumput SNBJ yang banyak ‘kemudian’ dan sering ‘berputar kembali’.

Dan sejak 28 tahun yang lalu, pelbagai masalah turut dijadikan alasan mengapa masalah padang di SNBJ tidak sesuai.

Tidak terkecuali dipersalahkan adalah struktur bangunan stadium itu sendiri yang dikatakan menjadi punca kepada masalah pencahayaan kepada rumput yang ditanam.

Kejadian pada Sabtu lalu pula mencetuskan perbalahan mengenai siapa sebenarnya yang harus bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan stadium tersebut.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) melalui setiausahanya, Datuk Windsor Paul turut meluahkan kekecewaan terhadap kualiti padang stadium tersebut, dan berkata pihaknya  tidak akan membenarkan sebarang penganjuran perlawanan di bawah badan itu diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada masa hadapan sekiranya situasi padang buruk di stadium itu tidak ditangani segera.

Kongsi artikel ini