Elak Kelab Kaya Buli Kelab Miskin, FIFA Ambil Langkah Perketat Peraturan Pemain Pinjaman

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kini memperketatkan peraturan pemain pinjaman sedia ada.

Objektif utama perubahan peraturan tersebut adalah untuk membenarkan pemain muda mendapat lebih banyak peluang untuk beraksi, membenarkan pertandingan diadakan secara kompetitif dan adil, serta mengelakkan peraturan sedia ada disalah gunakan.

Peraturan terbaru mengenai pemain yang dipinjamkan itu telah diluluskan pada Februari lalu, dan mulai berkuatkuasa pada 1 Julai ini.

Dan beberapa perubahan lain yang semakin diperketatkan akan diteruskan sehingga tahun 2025.

Peraturan baharu FIFA

Di bawah peraturan tersebut, pengambilan pemain secara pinjaman oleh setiap kelab akan dihadlkan, di mana hanya tiga pemain pinjaman, dan tiga pemain dipinjamkan dibenarkan pada satu-satu masa (satu jendela perpindahan).

Tempoh pinjaman juga telah diubahsuai oleh FIFA. Tempoh minima pinjaman hendaklah berlaku di antara dua jendela pinjaman (6 bulan), dan maksimum setahun.

Meminjam kembali pemain yang dipinjamkan ke kelab lain (kelab ketiga) adalah tidak dibenarkan. Setiap terma pinjaman hendaklah melalui kontrak bertulis (agreement) yang menyatakan setiap syarat pinjaman.

Perubahan tersebut dilakukan dalam usaha FIFA memperkemaskan sistem perpindahan pemain bermula pada 2017, untuk memodenkan, selain membersihkan pasaran perpindahan pemain daripada aktiviti yang tidak sepatutnya.

Ia juga adalah untuk mengelak kelab yang kaya ‘memerap’ atau mendomiasi kelompok pemain, menyebabkan perkembangan bakat terbantut. Kejadian sebegini juga menyebabkan kelab kurang berkemampuan terpaksa meminjam pemain yang diperlukan kerana pasaran pemain dikawal oleh kelab-kelab tertentu.

Perubahan secara ‘soft landing’

Penguatkuasaan peraturan baharu itu bagaimana pun akan dilakukan secara berperingkat. Setiap kelab akan dihadkan untuk meminjam atau mengambil pemain pinjaman secara berperingkat berdasarkan tetapan masa seperti berikut:

  • Bermula 1 Julai 2022 sehingga 30 June 2023, setiap kelab harus mempunyai hanya lapan pemain dipinjamkan masuk/ keluar di dalam tempoh semusim.
  • Bermula 1 Julai 2023 segingga 30 Jun 2024, peraturan sama digunapakai, tetapi terhad kepada tujuh pemain.
  • Bermula 1 Julai 2024, peraturan sama akan dikuatkuasakan tetapo dihadkan kepada 6 pemain.

Pengecualian oleh FIFA

Peraturan ini bagaimana pun tidak dihadkan kepada pemain di bawah usia 21 tahun untuk membenarkan pemain-pemain muda mendapat lebih banyak peluang beraksi bersama kelab lain sekiranya gagal mendapatkan tempat bersama kelab induk.

Peraturan ini juga hanya diguna pakai untuk perpindahan pinjaman antarabangsa, dan bukan perpindahan yang dilakukan di peringkat domestik.

Walaupun demikian, FIFA berkata setiap persatuan yang menjadi anggota badan induk bola sepak dunia itu harus turut menggunakan peraturan yang sama di pertandingan domestik masing-masing selewat-lewatnya pada 1 Julai 2025.

Kongsi artikel ini