Ejen Faisal Halim Buka Mulut Selepas Selangor Dikhabar Bersedia Lepaskan Pemain Itu Sertai Kelab Korea Selatan

“Tunjukkan kepada saya surat tawaran dahulu”. Itulah kata-kata ejen kepada Faisal Halim melalui akaun Twitternya mengenai minat dua kelab Korea Selatan terhadap pemain itu sebentar tadi.

Kenyataan balas oleh ejen kepada Faisal iaitu Joe Berbatov itu dilakukan selepas wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam berkongsi satu ciapan menyatakan seorang pemain kini bakal mengikut jejak langkah R. Kogileswaran yang beraksi di K League.

Malah perkongsian tersebut turut mendedahkan kelab terkini pemain yang dimaksudkan bersedia untuk melepaskan pemain tersebut secara persetujuan bersama.

“Seorang pemain berstatus pemain kebangsaan bakal ikut jejak langkah R. Kogileswaran ke Liga Korea. Perbincangan sedang berjalan, namun difahamkan kelab asal sedia melakukan ‘mutual agreement’,” tulis Zulhelmi.

Walaupun tidak menamakan siapakah pemain yang dimaksudkan, kenyataan balas Joe Berbatov jelas merujuk pemain  yang dimaksudkan adalah Faisal Halim.

Sebelum itu seorang ejen bola sepak dari Korea Selatan mendedahkan kepada Astro Arena bahawa Faisal telah menarik minat dua kelab utama Korea Selaran iaitu Suwon Samsung Bluewings dan Incheon United yang merupakan dua pasukan utama di K League 1.

Kenyataan Joe Berbatov pula memberi indikasi beliau seolah-olah tidak tahu menahu atau tidak dimaklumkan terdapatnya sebarang tawaran untuk Faisal daripada kedua-dua kelab Korea Selatan itu.

Sehingga artikel ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada kelab asal Faisal, Selangor FC mengenai status pemain itu.

Pada ketika ini agak sukar membayangkan Faisal akan ke Korea Selatan memandangkan liga bola sepak di negara itu tidak mempunyai kuota khas untuk pemain import ASEAN seperti mana yang diamalkan di J League.

Berdasarkan senarai daftar terkini, Suwon Bluewings kini memiliki pemain Korea Utara, An Byung Jon. Manakala Incheon United pula memiliki pemain berasal dari Australia, Harrison Andrew.

Kongsi artikel ini