Ed Woodward Bidas Harga Pemain Melampau, Tindakan Belakangkan Realiti Kewangan Industri

Naib Pengerusi Eksekutif Manchester United, Ed Woodward membidas spekulasi perpindahan melibatkan “ratusan juta pound pada musim panas ini”.

Beliau juga bertanggapan sesetengah pihak tidak ambil peduli dengan realiti sebenar yang dihadapi oleh industri selepas menerima tempias penularan wabak global yang memberi kesan mendalam kepada ekonomi dan industri, termasuk bola sepak.

United dikaitkan dengan perpindahan bernilai £200 juta untuk penyerang Tottenham, Harry Kane dan turut berpotensi untuk mendapatkan pemain sayap Borussia Dortmund, Jadon Sancho pada nilai £130 juta.

“Tidak ada siapa patut bermimpi, mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh semua pihak di dalam bola sepak.

“Ia bukan urusniaga seperti kebiasaan buat kebanyakan kelab, termasuk kami sendiri di pasaran pemain pada musim panas ini,” kata Woodward dalam satu forum bersama penyokong pada Jumaat lalu.

“Keutamaan kita adalah kejayaan kepada pasukan, tetapi kita perlu sedar akan impak terhadap keseluruhan industri.

“Ini termasuk jangka tempoh jendela perpindahan, dan gambaran menyeluruh kewangan, sebelum kita boleh bercakap mengenai semua perkara secara normal.”

Woodward kini dianggap individu penting dalam kebanyakkan perbincangan melibatkan kelab Premier League, dan kini di Eropah mengenai cara menangani impak kewangan disebabkan penularan wabak global yang berlaku.

Pendapatan melalui ha penyiaran bernilai berbillion kini terancam, dan penyambungan semula saingan tanpa kehadiran penyokong juga tidak akan membantu keadaan.

 

Kongsi artikel ini