“Dulu Lim Teong Kim Tak Pandang Pun Saya” – Arif Aiman Kini Antara Pemain Terbaik JDT Musim Ini

Hari ini Arif Aiman merupakan antara pemain paling menyerlah di dalam skuad JDT.

Namun suatu ketika dahulu bakat beliau kurang mendapat perhatian Pengarah Teknikal NFDP dan bekas Ketua Jurulatih skuad B-17 negara, Lim Teong Kim.

“Dulu dia (Lim Teong Kim) tak pandang pun saya”

“Lagipun dulu di AMD saya bukan dalam kesebelasan utama. Saya hanya simpanan,” kata Arif Aiman selepas membantu JDT menang 5-0 seperti yang dipetik daripada portal Makan Bola.

Kurang mendapat perhatian ketika masih berada di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Arif Aiman menyertai akademi bola sepak JDT pada penghujung 2018 dengan harapan  mendapatkan peluang lebih banyak beraksi dengan sebuah organisasi yang bergelar kelab bola sepak profesional.

Pilihan tepat

Tidak ada siapa yang berkata dan memberi jaminan bahawa Arif Aiman akan berjaya saat beliau memilih untuk menyertai JDT. Namun walaupun pada usia muda sebegitu, beliau berani menyahut cabaran tersebut.

Kerja keras anak muda ini di JDT tidak dipandang sebelah mata oleh barisan kejurulatihan Harimau Selatan. Akhirnya pada 14 Mac 2020, Arif Aiman mencipta sejarah tampil sebagai pemain termuda yang pernah melakukan penampilan untuk skuad Harimau Selatan itu pada usia 17 tahun.

Bagi Ketua Jurulatih JDT pada ketika itu, Benjamin Mora, pemain muda tersebut bukan sekadar seorang ‘wonder kid’. Malah Arif turut dianggap sebagai revolusi.

“Beliau mempunyai skil dan bakat pada usia yang muda dan masa hadapan dan apa yang penting ialah mengetahui mengenai apa yang perlu dilakukannya di atas padang,” ulas Benjamin Mora selepas pemain itu menjaringkan gol pertamanya menentang UiTM FC pada musim lalu.

Musim 2022

Kejayaan JDT merangkul kejuaraan MSL untuk kali kesembilan berturut-turut juga tidak lengkap sekiranya tidak membicarakan nama Arif Aiman. Musim ini Arif Aiman telah menjaringkan 5 gol dalam semua pertandingan untuk JDT.

Bagaimanapun jaringan di MSL hanya dihasilkan ketika menentang Negeri Sembilan pada malam tadi apabila beliau meledak sebanyak dua kali.

Sumbangan Arif Aiman sebagai pemain sayap adalah dalam bentuk bantuan gol.

Termasuk perlawanan pada malam tadi, Arif kini telah menjadi pencipta bantuan gol terbanyak untuk JDT pada musim ini bersama-sama Corbing Ong, sebanyak 10 kali – menjadikan beliau antara pemain paling menyerlah di dalam skuad Harimau Selatan pada musim ini.

Kongsi artikel ini