Expand To Show Full Article
Doa Dan Harapan Khabib Di Aidilfitri - Grandstand Kita

Doa Dan Harapan Khabib Di Aidilfitri

Sempena sambutan Aidilfitri pada tahun ini, petarung UFC Khabib Nurmagomedov tidak terlepas peluang untuk menyampaikan ucapan kepada penyokong dan peminat beliau.

Petarung UFC yang berasal dari Rusia itu turut merayakan 1 Syawal sepertimana umat Islam lain di seluruh dunia.

Namun demikian, kita tidak boleh menafikan perayaan Aidilfitri pada tahun ini disambut dalam suasana yang berbeza. Seperti mana penduduk dunia yang lain, Khabib turut merayakan Syawal di tengah penularan wabak global dunia.

Khabib pada hari ini sempat menyampaikan ucapan Hari Raya Aidilfitri 1441H melalui akaun Instahram miliknya. Turut dimuatnaik adalah ucapan berlatarbelakangkan Masjid Al Aqsa.

“Selamat Hari Raya Aidilfitri untuk semua. Semoga doa, puasa, amalan dan niat baik dapat diterima oleh Yang Maha Kuasa,” tulis Khabib.

“Semoga Yang Maha Kuasa membantu kita semua dan membebaskan kita dari penyakit yang telah mempengaruhi seluruh dunia.”

Sepanjang minggu lalu, wabak global telah menjangkiti lebih 5 juta orang di seluruh dunia. Seramai 344,025 pesakit dilaporkan meninggal dunia dan lebih 2 juta yang lain telah sembuh.

Ayah kepada Khabib, Abdulmanap Nurmagomedov adalah salah seorang yang terkesan dengan penularan wabak tersebut.

Laporan terkini mengatakan Abdulmanap kini semakin beransur pulih dan sedang dirawat dengan rapi di sebuah hospital di Moscow.

Selain daripada ayahnya, wabak tersebut turut dikatakan menjadi punca kematian beberapa ahli keluarga dan saudara mara yang dekat dengan Khabib.

 

Kongsi artikel ini