Dipinang Kelab Iceland Bukti Luqman Masih Mampu Pikat Pasaran Bola Sepak Eropah

Perpindahan Luqman Hakim Shamsudin secara pinjaman ke kelab Iceland, Njardvik FC baru-baru ini membuktikan pemain menyerang itu masih mendapat perhatian kelab-kelab Eropah.

Dan menurut bekas pengendali skuad Harimau Malaya dan legenda bola sepak negara, Dollah Salleh, ini juga bermakna Luqman masih mampu memikat pasaran pemain di Eropah.

Bagi Dollah perpindahan Luqman dari Belgium ke Liga Iceland adalah satu pencapaian dan beliau berharap ia mampu memberi motivasi kepada lebih ramai bakat muda untuk beraksi di luar negara selepas ini.

“Ia sebenarnya adalah satu pencapaian kerana dia berhijrah dari Belgium dan ke Iceland. Ini bermakna mereka melihat kepada kualiti [yang dimiliki Luqman].

“Jika boleh, kita mahu lebih ramai lagi pemain muda tempatan beraksi di luar negara suaya mereka boleh mendapat pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.

“Dan apabila mereka kembali ke negara ini, Insyaaalah, kita boleh tingkatkan lagi kualiti bola sepak kita,” jelas Dollah.

Sentimen sama turut dikongsi oleh seorang lagi legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan yang turut menyifatkan keputusan pemain itu untuk kekal di Eropah adalah petanda positif.

“Selagi dia bermain di Eropah, ia adalah perkara bagus. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada dia, dan jangan sekali menyerah kalak.

“Kita semua tahu bagaimana tahap dan kualiti bola sepak di sana,” kata Zainal.

Njardvik FC adalah kelab diviseyen kedua Iceland dan merupakan juara divisyen ketiga pada musim lalu. Kelab tersebut mengumumkan secara rasmi ketibaan Luqman melalui rangkaian media sosial kelab semalam.

Merupakan graduan generasi pertama Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Luqman dilaporkan mengikat kontrak secara pinjaman daripada KV Kortrijk untuk menyertai kelab Iceland itu selama semusim.

Dijanjikan minit perlawanan dan beraksi di dalam setiap perlawanan menjadi penyebab utama Luqman memilih untuk beraksi bersama Njardvik FC.

Luqman sebelum ini pernah dipilih sebagai antara 60 pemain muda terbaik dunia pada 2019 hanya pernah melakukan dua penampilanuntuk Kortrijk pada musim ini, termasuk dalam perlawanan Jupiler Pro League menentang Westerloo pada September lalu.

Beliau dianggap sebagai pemain muda berpotensi selepas prestasi cemerlang yang ditampilkan oleh beliau bersama skuad B-21 Kortrijk sejak 2020.

Kongsi artikel ini