Diperkenal Di Stadium Hampir Kosong, Braithwaite Juga Gagal Timang Bola Dengan Betul

Martin Braithwaite memuktamadkan perpindahan impiannya dari Leganese ke Barcelona baru-baru ini. Namun tiada sambutan seperti wira seperti kebiasaan di Nou Camp kali ini.

Penyokong Barcelona kebiasaannya akan memenuhi Nou Camp untk menyambut pemain-pemain yang diumumkan menyertai pasukan itu.

Namun ketika majlis pengenalan Braithwaite, hanya jurufoto, media, ahli keluarga dan beberapa pegawai dari Barcelona yang hadir.

Seperti kebiasaan, acara dan majlis tersebut turut akan diserikan oleh pemain memperagakan skill menimang bola.

Malangnya bagi Braithwaite, ia tidak berapa menjadi, berkemungkinan kerana rasa gemuruh yang beliau rasai.

Bahagian tersebut bagaimanapun telah disunting oleh pohak Barcelona sebelum video rasmi tersebut dikongsikan.

Perpindahan Braithwaite sebenarnya agak kontroversi kerana La Liga membenarkan perpindahan tersebut dilakukan di luar jendela perpindahan.

Barcelona pula mengambil kesempatan dari kelompongan peraturan di La Liga dengan membayar klausa pelepasan bernilai £16 juta untuk bekas pemain Middlesbrough itu.

Barcelona terpaksa membeli penyerang berusia 28 tahun itu selepas kecederaan yang menimpa Luis Suarez dan Ousmane Dembele untuk keseluruhan musim.

“Pada mulanya saya terkejut dengan minat yang ditunjukkan oleh Barca. Untuk bertahun lamanya, ia adalah sesuatu yang saya impikan sejak dulu,” kata Braithwaite.

“Saya mempunyai cita-cita untuk bermain di tahap ini. Saya selalu ada rasa percaya. Jika anda sentiasa positif, bekerja keras dan berdoa, maka semuanya adalah mustahil.”

Penyerang dari Denmark ini menjaringkan enam gol dari 18 gol milik Leganese yang menduduki tangga tercorot La Liga pada musim ini.

Pengurus Leganese tidak bersembunyi dengan kritikannya terhadap La Liga yang membenarkan perpindahan tersebut dari belaku.

 

Kongsi artikel ini