Dion Cools Sudah Tiada Dalam Perancangan FC Midtjylland Musim 2022/23?

Pemain warisan skuad Harimau Malaya, Dion Cools dikhabarkan tidak berada di dalam skuad FC Midtjylland yang sedang sibuk menjalani latihan pra musim bagi menghadapi musim 2022/23.

Pemain pertahanan berusia kelahiran Kuching, Sarawak itu sudah pun pulang ke Denmark untuk kembali bersama Midtjylland, namun perkembangan terkini ini menimbulkan spekulasi baharu mengenai masa depan pemain pertahanan berusia 26 tahun itu.

Pada sebelum ini hanya melakukan 38 penampilan untuk Midtyjylland di saingan Danish Superliga sejak 2020, namun menghabiskan separuh dari tempoh musim lalu di Belgium bersama Zulte Waregem secara pinjaman.

Bakal sertai JDT

Pemain pertahanan versatile yang berkemampuan beraksi di posisi bek kanan dan pemain pertahanan tengah itu sebelum ini dikatakan akan menyertai juara Liga Super Malaysia (MSL), JDT pada 2023.

Melalui satu sidang media dan sesi bertemu penyokong baru-baru ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) mendedahkan bekas pemain Club Brugge itu telah menyatakan minat untuk menyertai pasukan itu pada musim ini.

Ini kerana harga untuk menebus kontrak beliau bersama kelab FC Midtjylland terlalu tinggi sekaligus menyebabkan kelab tersebut terpaksa menangguhkan seketika hasrat untuk mendapatkan Dion pada saingan musim ini.

“Saya dan Dion Cools mempunyai hubungan baik yang begitu lama dan beliau memang mahu bermain di sini.

“Akan tetapi, situasi sekarang adalah sedikit susah untuk pihak kami kerana perlu membayar pampasan untuk tebus kontrak beliau. Saya akan menandatangani Dion Cools kemungkinan pada hujung tahun ini atau tahun hadapan,” kata TMJ.

Apakah nasib Dion Cools musim ini?

Sekiranya tidak berada di dalam perancangan FC Midtjylland pada musim ini, maka apakah nasib pemain itu pada musim ini?

Cools dilaporkan masih memiliki kontrak bersama kelab itu sehingga 30 Jun 2023. Hanya selepas itu pemain pertahanan negara itu dibenarkan untuk menyertai JDT sebagai ejen bebas.

Buat masa ini, satu lagi proses pinjaman ke liga berlainan di Eropah merupakan satu kemungkinan buat Cools.

Beliau boleh sahaja terus kekal bersama FC Midtjylland sebagai pemain pada musim ini, namun berdasarkan perkembangan semasa peluang untuk Cools mendapatkan minit perlawanan di bawah kendalian pengurus pasukan, Bo Henriksen dianggap sukar.

Sukar untuk membayangkan Cools kembali bersaing dengan pemain seperti Eric Joel Anderson (pemain antarabangsa Sweden) atau Henrik Dalsgaard (pemain antarabangsa Denmark) di posisi sama pada musim hadapan.

Kongsi artikel ini