Nama Dion Cools sudah beberapa kali dikaitkan dengan pasukan negara kendalian Tan Cheng Hoe. Malah pada satu ketika, pemain berdarah campuran Belgium-Malaysia itu turut dikaitkan dengan juara Liga Super enam kali berturut-turut, JDT.
Melalui temu bual bersama Edleen Ismail di Astro Arena semalam, pemain bek kanan yang kini beraksi bersama FC Midtjylland di Denmark mengesahkan dirinya tetap terbuka menyarung jersi Harimau Malaya pada masa hadapan.
Malah pemain berusia 23 tahun itu sedar akan sokongan daripada rakyat Malaysia yang mahukan beliau menyarung jersi pasukan negara pada masa hadapan.
Apa hubungan Dion Cools dengan JDT?@Djcools_21@edleenismail pic.twitter.com/EXNuW496x7
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) April 18, 2020
Namun bagi Cools, itu bukan perkara yang beliau perlu fikirkan buat masa ini kerana belum ada sebarang tawaran rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melamar beliau.
“Tetapi sudah pasti saya akan menimbangkan peluang untuk mewakili Malaysia kerana sebahagian daripada diri saya adalah Malaysia dan sebahagian lagi adalah Belgium. Saya adalah gabungan kedua-duanya dan amat berbangga dengannya,” kata Cools kepada Edleen semalam.
“Jadi, ia sesuatu yang amat baik untuk mendapat sokongan daripada rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan pesanan dan mengajak saya untuk bermain bersama skuad kebangsaan Malaysia.
“Tetapi selagi saya tidak mendapat tawaran, saya tidak perlu memikirkannya dan ia tidak mendatangkan tekanan buat saya,” katanya.
Pemain kelahiran Sarawak itu turut menyatakan kekaguman terhadap JDT, dan mengakui mempunyai hubungan baik dengan juara Piala AFC 2015 itu.
DION COOLS GAMBARKAN PROJEK JDT SEBAGAI “SANGAT MENGAGUMKAN”Astro Arena menyiarkan satu temubual bersama pemain…
Posted by JOHOR Southern Tigers on Saturday, April 18, 2020
Malah pemain itu gembira kerana dapat berbual dengan pemilik kelab, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim. Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengenai bola sepak.
“Rakaman yang saya tonton amat hebat dan sudah pasti ia akan lebih menarik jika dapat disaksikan secara langsung,” ujar Cools lagi mengenai fasiliti yang dimiliki oleh kelab selatan tanah air itu.
“Mungkin saya akan melakukan lawatan. Itu perancangan saya kerana ia pasti amat menarik.
“Tetapi tidak ada perbincangan yang benar-benar mengenai aspek bola sepak.
“Ia hanya perbualan mesra dan juga mengenai keadaan bola sepak di Eropah,” katanya lagi.
JDT melalui perkongsian semalam turut mengesahkan terdapat pertemuan diantara Cools dengan Pengarah Sukan JDT, Martin Prest pada November lalu dan menyatakan keinginan beliau untuk melawat JDT pada masa akan datang.